Memartabatkan seni warisan Islam untuk generasi akan datang

25 Nov 2026 - 12:37am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. – Dalam usaha menyemarakkan Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM SMJA telah menganjurkan Pertandingan Dikir Syarafil Anam antara rumah-rumah sukan pada baru-baru ini, bertempat di Bilik Mumtaz, SM SMJA.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh tetamu kehormat majlis, Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Sammali bin Haji Adam.

Turut hadir, Awang Mohamed Nazmi Ridhwan dari Nazmi Textile selaku penaja yang telah memberikan sokongan terhadap penganjuran pertandingan berkenaan.

Pertandingan tersebut turut menyaksikan penglibatan tiga jemaah hakim, iaitu Awang Muhammad Nur Asymawi bin Awang Asli selaku ketua hakim, Awang Abdull Muin bin Haji Abd. Hamid sebagai hakim suara dan lagu, serta Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Abdul Habib selaku hakim fasahah dan teknik.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Majlis, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi PIBG SM SMJA, Awang Rosdin bin Haji Abd. Aziz.

Awang Rosdin dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan berkenaan serta menekankan kepentingan memelihara dan menghidupkan seni warisan Islam dalam kalangan warga sekolah.

Jelasnya lagi, pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan daripada empat buah rumah sukan, iaitu Rumah Berambang, Rumah Jong Batu, Rumah Lumut Lunting dan Rumah Pulau Chermin.

“Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori lelaki dan Kategori perempuan, dengan setiap rumah sukan menampilkan persembahan Dikir Syarafil Anam masing-masing.

“Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan Sambutan Jubli Intan 75 Tahun SM SMJA, malah menjadi wadah untuk memperkembangkan khazanah kesenian Islam serta memelihara warisan turun-temurun masyarakat Melayu Brunei,” ujarnya lagi.

Awang Rosdin seterusnya menjelaskan bahawa pertandingan tersebut turut menjadi platform untuk mengetengahkan bakat dan potensi para penuntut di samping memupuk pembentukan generasi yang berilmu, beradab dan berakhlak mulia serta menyemai rasa cinta dan kasih terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sebelum pengumuman keputusan pertandingan, majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh yang disampaikan oleh penuntut SM SMJA, sekali gus menambahkan lagi suasana kemeriahan dan penghayatan terhadap kesenian Islam.

Bagi Kategori Lelaki, johan telah disandang oleh Kumpulan Zummurud Akhdar dari Rumah Berambang; diikuti oleh Kumpulan Sautul Mahabbah dari Rumah Lumut Lunting sebagai naib johan; manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Gema Nilam dari Rumah Jong Batu.

Sementara itu, bagi Kategori Perempuan, johan telah dimenangi oleh Kumpulan Wardatul Zarqa dari Rumah Jong Batu; diikuti oleh Kumpulan Jawahir Khadra dari Rumah Berambang sebagai naib johan; manakala Kumpulan Baidha Ul Humayraa’ dari Rumah Lumut Lunting di tempat ketiga.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada jemaah hakim sebagai tanda penghargaan atas kesudian serta khidmat bakti mereka dalam mengadili pertandingan.

Cenderamata turut disampaikan kepada tetamu kehormat sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan daripada pihak penganjur.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat, para hakim, pihak penganjur, guru-guru dan para peserta sebagai kenang-kenangan.

Penganjuran Pertandingan Dikir Syarafil Anam berkenaan diharapkan dapat terus menyemarakkan semangat kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memelihara seni warisan Islam agar terus diwarisi oleh generasi akan datang, selaras dengan aspirasi Sambutan Jubli Intan 75 Tahun SM SMJA.