Halaqah Bimbingan Da'ie perkasa penyampaian ceramah

5 Og 2026 - 6:50am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Pg. Nurhafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Ogos. - Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada para da’ie Pusat Da’wah Islamiah (PDI) dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, para pensyarah dan penolong pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), para pensyarah dan penolong pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di bawah Kementerian Pendidikan, para pegawai Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja  Brunei,  Kementerian  Pertahanan;  serta  para  da’ie  dari  jabatan-jabatan  kerajaan,  sektor swasta dan Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei  menyertai Halaqah Bimbingan Da’ie Kali Ke-73 Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan pagi tadi di Dewan Persidangan, PDI, KHEU berkenaan.

Objektif utama penganjuran Halaqah Bimbingan Da’ie Kali Ke-73 ini adalah untuk menyelaras isi kandungan ceramah agar penyampaian para penceramah sentiasa konsisten, mantap dan relevan dengan isu-isu semasa serta perkembangan zaman. Halaqah ini yang dianjurkan oleh PDI, KHEU melalui Bahagian Penyebaran Da’wah (Ceramah) yang penganjuran halaqah ini diharapkan dapat mencapai objektif dan matlamat yang dihasratkan, khususnya dalam memperkaya ilmu pengetahuan, membincangkan isu-isu berkaitan serta menggalakkan pertukaran pandangan secara berkesan mengenai tajuk-tajuk ceramah yang dibentangkan. 

Majlis halaqah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Majlis kemudian diteruskan dengan pembentangan tema oleh fasilitator jemputan, Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Profesor Madya Dr. Anis Malik Thoha. Seterusnya, penyampaian cenderahati kepada fasilitator jemputan yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah PDI, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman, selaku tetamu khas majlis. 

Majlis diteruskan dengan sesi bengkel, diikuti pembentangan hasil perbincangan oleh para peserta dan seterusnya sesi soal jawab yang dibuka kepada semua peserta yang hadir.