Siaran Akhbar dan Foto : Darussalam Services Sdn. Bhd.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB) menerima kunjungan rombongan daripada Islamic Cultural Association (Hong Kong) dan Hong Kong Islamic Youth Association sempena Program Brunei Darussalam Cultural Exploration Trip yang berlangsung selama enam hari lima malam di Negara Brunei Darussalam (NBD), hari ini.
Rombongan terdiri daripada 22 peserta diketuai oleh Director of Islamic Cultural Association Hong Kong, Alexander Ibrahim Sit dan Vice Chairman of Hong Kong Islamic Youth Association, Abdul Aziz Ma bersama ahli-ahli daripada kedua-dua pertubuhan berkenaan.
Lawatan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan warisan Islam, budaya, sejarah serta cara hidup masyarakat di NBD, di samping menikmati pengalaman pelancongan yang menggabungkan nilai-nilai Islam dengan khazanah budaya tempatan.
Antara program yang disusun bagi rombongan Brunei Darussalam Cultural Exploration Trip ialah kunjungan ke DSSB, yang bertujuan memberi peluang kepada para peserta untuk mengetahui dan mempelajari dengan lebih dekat mengenai pengurusan Haji dan Umrah di NBD.
Sepanjang kunjungan tersebut, rombongan diberikan penerangan mengenai fungsi dan tanggungjawab DSSB dalam mengurus serta menyusun program dan pakej Haji dan Umrah.
Para peserta turut berkesempatan menyaksikan tayangan video berkaitan pengurusan Haji dan Umrah, melawat pameran Haji dan Umrah, serta menyaksikan sesi bimbingan manasik Haji dan proses pendaftaran Haji dan Umrah di kaunter DSSB.
Kunjungan tersebut turut berlangsung bersempena dengan Hari Terbuka Haji dan Umrah DSSB yang diadakan selama dua hari, bermula pada 21 hingga 22 Ogos 2026 di Ibu Pejabat DSSB, The Airport Mall.
Program berkenaan dianjurkan sebagai platform untuk memberikan maklumat yang jelas dan terkini mengenai urusan Haji dan Umrah, termasuk persediaan ibadah, di samping membuka pendaftaran Haji bagi musim Haji 1448 Hijrah / 2027 Masihi.
Di akhir kunjungan, rombongan turut diraikan dalam satu majlis mengalu-alukan yang diadakan di Dewan Mahligai, The Airport Mall. Pada majlis tersebut, Pengarah Urusan DSSB, Awang Haji Mahmud bin Mohamed, menyampaikan penghargaan atas kunjungan rombongan sebelum mendengar penerangan dan ucapan daripada wakil rombongan mengenai visi dan misi pertubuhan masing-masing dan diakhiri dengan bacaan doa selamat dan jamuan petang.
Program Brunei Darussalam Cultural Exploration Trip ini turut mencerminkan potensi NBD sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman pelancongan berteraskan Islam, budaya dan warisan, khususnya kepada pelawat Muslim dari rantau antarabangsa.
DSSB berharap kunjungan ini akan terus mengeratkan hubungan serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas bersama pertubuhan-pertubuhan Islam dan rakan strategik antarabangsa dalam mempromosikan NBD sebagai destinasi pelancongan yang unik, mesra Muslim dan kaya dengan warisan budaya.