Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
KILANAS, Khamis, 20 Ogos. - Sekolah Al-Falaah Ban 5, Kilanas, kini dilengkapi dengan blok baharu yang menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Hadir selaku tetamu khas pada majlis perasmian blok baharu tersebut ialah Penolong Pengarah Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Dayang Hamidah binti Haji Daud.
Turut hadir, Pengasas dan Penasihat Sekolah Al-Falaah, Sayyid Hamid Al-Taher Al-Husainiy dan Pengetua Sekolah Al-Falaah, Dayang Hajah Shariffah Mastura Alsagoff serta para jemputan dan warga sekolah.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Hajah Shariffah Mastura antara lain menjelaskan bahawa pembinaan blok baharu berkenaan bukanlah sebahagian daripada perancangan asal sekolah, namun adalah dari susulan kejadian kebakaran yang meranapkan sebuah blok sekolah pada Mac 2025.
Beliau turut menekankan bahawa setiap perancangan dan cabaran yang dihadapi merupakan ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala, namun usaha berterusan, kesabaran dan sikap tidak berputus asa perlu menjadi pegangan dalam menghadapi setiap rintangan.
“Blok baharu ini bukan sekadar bangunan fizikal, tetapi simbol harapan dan pelaburan kita terhadap masa depan anak-anak,” ujar beliau.
Dengan adanya kemudahan baharu itu, pihak sekolah berharap proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih selesa, kondusif dan mampu memberikan inspirasi kepada para pelajar serta tenaga pengajar.
Pada kesempatan tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, termasuk Jabatan Pendidikan Swasta, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, para arkitek, konsultan, kontraktor serta warga pentadbiran sekolah.
Penghargaan khas turut disampaikan kepada Jabatan Pengajian Islam kerana membenarkan pihak sekolah menggunakan lima buah bilik darjah di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Ummi Kalthum Al-Islam sepanjang tempoh yang diperlukan.
Beliau juga menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbangkan tenaga, masa, buah fikiran dan doa bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Selawat yang dikepalai oleh Awang Muamar bin Abdul Amin dan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Abdallah Hassi, tenaga-tenaga pengajar Sekolah berkenaan, diikuti sesi menandatangani bingkai kenangan sempena perasmian pembukaan blok baharu oleh tetamu khas.
Acara seterusnya disusuli dengan lawatan tetamu khas ke blok baharu bagi menyaksikan sendiri kemudahan yang disediakan. Blok baharu berkenaan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan kira-kira dua ekar yang turut menempatkan blok lama dan kawasan letak kereta.
Antara kemudahan yang disediakan ialah pejabat pentadbiran, bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), bilik kecemasan (‘first aid’), musolla, tandas, bilik darjah, perpustakaan dan stor. Sekolah Al-Falaah Ban 5 kini mempunyai seramai 427 pelajar bagi sesi pagi dan petang serta 31 orang kakitangan.