Atlet wusyu negara pamerkan aksi terbaik

22 Sep 2026 - 6:51am

Siaran Akhbar dan Foto : Urus setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam Sukan Asia Ke-20, 2026

NAGOYA, JEPUN, Isnin, 21 September. - Atlet wusyu negara, Hosea Wong Zheng Yu, menampilkan prestasi yang baik dalam acara Lelaki Taijiquan dan Taijijian pada hari kedua Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya Jepun 2026.

Hosea mencatatkan 9.656 mata dalam Taijiquan dan 9.686 mata dalam Taijijian, dengan jumlah keseluruhan 19.342 mata, sekali gus menduduki tempat ke-11 daripada 15 atlet.

Secara keseluruhan, persembahan Hosea memperlihatkan asas teknikal yang baik serta daya saing tinggi dan hanya terlepas kedudukan 10 terbaik dengan jurang yang amat kecil. Perlaksanaan pendaratan (‘landing execution’) tidak seimbang menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian nanti untuk dipertingkatkan.

Pada hari yang sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Olympic Council of Asia Honorary Executive Board Member dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, berkenan menyaksikan persembahan atlet wusyu negara serta memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada Hosea dan kepada atlet yang belum bertanding.

Sementara itu, Awang Mohammad Adi Salihin bin Roslan dan Abel Lim meneruskan persiapan dengan menjalani sesi latihan pada sebelah pagi dan petang sebagai persediaan menghadapi acara esok pagi.

Secara keseluruhannya, kesemua atlet terus menunjukkan komitmen dan disiplin di sepanjang keberadaan di sini. 

Pengurusan bersama AINAGOC juga semakin lancar dan pihak penganjur dapat memberikan kerjasama kepada semua kontinjen-kontinjen sungguhpun masih terdapat cabaran dalam urusan logistik.