Foto : Hernie Suliana Haji Othman
JERUDONG, Isnin, 9 November. - Kejohanan Golf Persahabatan Bekas Duta-Duta ASEAN (FAAFGT) Kali Ke-3 melabuh tirainya petang tadi pada Majlis Penyampaian Hadiah FAAFGT Kali Ke-3 dan Makan Tengah Hari yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Country Club, di sini.
Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Pada kejohanan berkenaan, pasukan Malaysia muncul juara bagi Kategori Country Team Championship setelah berjaya mengutip sebanyak 218 mata, diikuti dengan Negara Brunei Darussalam (NBD) di tempat naib juara, manakala Republik Indonesia di tempat ketiga, setelah masing-masing berjaya mengumpul sebanyak 217 dan 215 mata keseluruhan.
Kejohanan tahun ini menghimpunkan seramai 113 peserta, terdiri daripada 71 bekas Duta ASEAN dan 42 ahli perniagaan dari NBD, Republik Indonesia, Malaysia, Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam.
FAAFGT kali pertama dianjurkan di Bangkok, Thailand, diikuti dengan FAAFGT kedua yang diadakan di Ha Long Bay, Republik Sosialis Viet Nam pada penghujung tahun lalu.
Kejohanan tersebut menghimpunkan rakan-rakan diplomatik yang pernah berkhidmat bersama di pelbagai penempatan luar negara sepanjang kerjaya mereka. Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk berhubung semula, berkongsi cerita dan pengalaman selepas bersara, serta menikmati minat yang sama terhadap sukan golf.
Golf merupakan sukan yang popular di seluruh rantau ASEAN. Memandangkan NBD sedang bersiap sedia untuk melancarkan Tahun Melawat Brunei 2027, FAAFGT sebagai satu acara pelancongan berasaskan aktiviti dan diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran dan publisiti bagi kempen tersebut.
Kejohanan berkenaan dianjurkan secara pembiayaan kendiri, dengan sokongan dan sumbangan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Sarawak Trade and Tourism Office in Brunei (STATOB), Adinin Works and Engineering Sdn. Bhd., New Temburong Quarry (NTQ) Sdn. Bhd., Brunei Tourism, serta beberapa individu persendirian.
Dalam pada itu, Republik Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi FAAFGT pada 2027.