Berangkat melawat hospital pakar wanita, kanak-kanak

10 Nov 2026 - 6:01am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

DOHA, QATAR, Isnin, 9 November. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan meneruskan lawatan pada sebelah petang dengan berangkat melawat Sidra Medicine, iaitu sebuah hospital terkemuka khusus untuk wanita dan kanak-kanak.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sidra Medicine, Mohammed Khalid Al Mana.

Berangkat bersama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

Yang Teramat Mulia telah disembahkan taklimat terperinci mengenai kerangka kerja bertaraf dunia di Sidra Medicine, yang menyepadukan perkhidmatan klinikal khusus, penyelidikan saintifik termaju, dan pendidikan perubatan bagi memperkukuh keupayaan penjagaan kesihatan nasional Qatar.

Seterusnya, YTM telah berangkat melawat kemudahan tersebut yang termasuk Wad Kanak-kanak, Taman Pemulihan (Healing Garden) serta Wad Wanita yang dilengkapi dengan kemudahan terkini.

Lawatan-lawatan peringkat tinggi berkenaan mengukuhkan lagi hubungan erat serta kerjasama dua hala yang semakin berkembang antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Negara Qatar, merangkumi sektor-sektor penting seperti pembangunan insan, kesihatan dan kebajikan sosial.