Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said
DOHA, QATAR, Ahad, 8 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman hari ini berkenan berangkat melawat National Museum of Qatar.
Ketibaan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Chair of the Board of Trustees of Qatar Museums, Tuan Yang Terutama Sheikh Thani bin Hamad bin Khalifa Al Thani.
Berangkat bersama, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung melawat galeri-galeri muzium yang menawarkan pengalaman imersif, yang memaparkan evolusi kronologi serta peristiwa-peristiwa penting yang membentuk identiti kebangsaan Qatar.
Delegasi telah berpeluang melihat artifak-artifak sejarah yang unik dan khazanah arkeologi yang menghuraikan warisan serta transformasi sosioekonomi Qatar yang pesat.
Lawatan ini mengetengahkan ikatan budaya yang mendalam dan hubungan persaudaraan antara Negara Brunei Darussalam dan Negara Qatar, sekali gus menekankan penghargaan bersama terhadap usaha pemeliharaan warisan negara. National Museum of Qatar mula dibuka pada tahun 1975, bertempat di dalam istana Sheikh Abdullah bin Jassim Al Thani.
Selama lebih 50 tahun, muzium ini telah memainkan peranan dalam memelihara sejarah Qatar mengongsikan warisannya yang kaya serta menjalin hubungan dengan masyarakat dari seluruh dunia.
Pada tahun 2019, muzium ini dibuka semula di sebuah bangunan baharu yang ikonik, direka oleh arkitek Jean Nouvel dengan bentuk yang menyerupai kristal 'mawar gurun' (desert rose).
Kini, muzium tersebut berfungsi sebagai pusat pendidikan dan mercu tanda global yang menempatkan khazanah-khazanah langka, termasuk Permaidani Mutiara Baroda (Pearl Carpet of Baroda) dan buku-buku tulisan tangan purba.