Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said
DOHA, QATAR, Isnin, 9 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, hari ini berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Qatar Foundation.
Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan dengan Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Foundation, Puan Yang Terutama Sheikha Hind bint Hamad Al Thani, dan membincangkan kepentingan bersama dalam pembangunan modal insan, pendidikan berkualiti tinggi serta penyelidikan saintifik.
Sebagai sebahagian daripada atur cara lawatan, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berkenan meninjau kampus Education City dari balkoni Ibu Pejabat Qatar Foundation. Sudut pandangan berkenaan memperlihatkan ekosistem unik organisasi yang merangkumi institusi-institusi akademik bertaraf dunia serta pusat-pusat penyelidikan.
DYTM dan YTM juga disembahkan maklumat mengenai peranan penting Qatar Foundation dalam menyokong peralihan Qatar ke arah ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan.
Ditubuhkan pada 1995, Qatar Foundation berperanan sebagai tonggak utama dalam memacu kepelbagaian ekonomi Negara Qatar, dengan mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas demi masa depan yang mampan dan dipacu oleh pengetahuan.
Melalui Education City, yayasan berkenaan melabur secara besar-besaran dalam bidang berteknologi tinggi termasuk sains komputer, Kecerdasan Buatan (AI), dan penyelidikan tenaga bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Selain itu, Qatar Foundation mengendalikan institusi-institusi khusus seperti Qatar Environment and Energy Research Institute untuk memajukan inisiatif hijau dalam aspek keselamatan tenaga, pengurusan air dan perubahan iklim, di samping mengutamakan pembangunan komuniti melalui hab-hab kebudayaan dan sosial yang penting.