Tinjau usaha memperkasa golongan kelainan upaya

10 Nov 2026 - 6:09am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

DOHA, QATAR, Isnin, 9 November. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, hari ini berkenan berangkat mengadakan beberapa lawatan ke institusi-institusi sosial dan penjagaan kesihatan terkemuka di Doha, yang mencerminkan komitmen bersama yang semakin berkembang terhadap kebajikan sosial dan kecemerlangan perubatan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Negara Qatar.

Pada sebelah pagi, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berangkat melawat Shafallah Center for Persons with Disabilities bertempat di Lusail.

Berangkat bersama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

Sejurus berangkat tiba, YTM telah dialu-alukan oleh Minister of Social Development and Family, Puan Yang Terutama Buthaina bint Ali al-Jabr al-Nuaimi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Foundation for Social Work, Mr. Rashid Mohammed Al Naimi.

Lawatan berkenaan menunjukkan usaha-usaha Negara Qatar dalam memperkasa individu kelainan upaya melalui pendidikan khas yang disesuaikan, pemulihan terapeutik, latihan vokasional, dan program-program inklusi sosial yang strategik.

Semasa lawatan berkenaan, YTM berpeluang menyaksikan aktiviti-aktiviti terapeutik di pelbagai unit khusus, termasuk Bilik Taman (Garden Room), Bilik Lukisan, dan Studio Fotografi.

Sebelum mengakhiri lawatan, YTM berkenan menyertai sesi bergambar bersama para pelajar dan pegawai pusat tersebut.