Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 November. - Seramai 200 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah mengikuti Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2026 yang dianjurkan oleh Syarikat Pengurusan Kifayah Ar-Razaq.
Pelancaran BYLC 2026 telah berlangsung pagi tadi, bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).
Pelancaran BYLC 2026 telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyaksikan tayangan video pengenalan mengenai Konvensyen BYLC.
Pada acara pembukaan, tetamu kehormat juga telah melawat Pameran Pavillion Belia dan berkongsi kata-kata motivasi, nasihat dan inspirasi kepada para peserta yang mengikuti konvensyen tersebut.
Pada edisi kali ni, BYLC merupakan kemajuan bermatlamat, beralih daripada sekadar memberi inspirasi kepada pelibatan belia, ke arah memperkasa pemimpin muda untuk mencipta nilai ekonomi dan nasional yang nyata.
BYLC 2026 memfokuskan kepada usaha menterjemah bakat, idea dan identiti nasional belia kepada perusahaan produktif, pekerjaan berkualiti, inovasi serta komuniti yang kukuh, termasuk memanfaatkan momentum menjelang Tahun Melawat Brunei 2027.