Teroka peluang kerjasama timbang tara, pengantaraan

24 Nov 2026 - 6:58am

Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Darussalam Arbitration Centre

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 November. – Brunei Darussalam Arbitration Centre (BDAC) menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden dan Hakim Presiden Mahkamah Rakyat Agung Republik Rakyat China, Tuan Mao Zhunhao, bersama para delegasi ke pejabat BDAC pada hari ini.

Lawatan tersebut bermula dengan lawatan ke pejabat BDAC, diikuti dengan pertemuan bersama Hakim Mahkamah Perantaraan, Yang Arif Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni, selaku Pengerusi BDAC bersama pengurusan BDAC.

Semasa pertemuan tersebut, Yang Arif Radin Safiee memperkenalkan BDAC sebagai satu-satunya institusi di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang khusus untuk Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR).

Ditubuhkan pada 2014, BDAC menggalakkan penyelesaian pertikaian di luar prosiding mahkamah tradisional serta menyediakan sokongan institusi dan perkhidmatan dalam timbang tara dan pengantaraan kepada pengguna domestik dan antarabangsa.

Pengerusi BDAC turut mengiktiraf kerangka timbang tara dan pengantaraan Republik Rakyat China yang kukuh dalam penyelesaian pertikaian komersial antarabangsa, seterusnya menekankan kepentingan perkongsian pengetahuan dan pertukaran amalan terbaik antara institusi ADR dan badan kehakiman.

Perbincangan tertumpu kepada peluang kerjasama institusi antara kedua-dua buah negara, termasuk perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti bagi penimbang tara dan pengantara tempatan, program latihan, seminar dan inisiatif pertukaran profesional, di samping menggalakkan kesedaran yang lebih meluas mengenai timbang tara dan pengantaraan antarabangsa.

Dengan latar hubungan perdagangan dan pelaburan yang semakin berkembang antara NBD dan Republik Rakyat China, mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan, neutral dan berwibawa amat penting dalam memupuk keyakinan dalam kalangan syarikat dan pelabur.

BDAC mengalu-alukan syarikat dan pelabur dari Republik Rakyat China untuk mempertimbangkan BDAC sebagai forum penyelesaian pertikaian yang timbul daripada urus niaga komersial dan pelaburan mereka di NBD dan di rantau ini.

Lawatan ini mencerminkan hubungan yang semakin erat antara NBD dan Republik Rakyat China.

BDAC berharap untuk terus memperkukuh hubungan dengan Mahkamah Rakyat Agung dan meneroka peluang kerjasama yang berterusan dalam memajukan timbang tara dan pengantaraan bersama rakan institusi seimbang di Republik Rakyat China.