Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
ISTANBUL, REPUBLIK TÜRKIYE, Isnin, 23 November. – Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani menyampaikan ucaptama dalam University Rectors' Forum dalam persidangan The International Academic Conference on the Palestinian Cause and the Systems of Knowledge, Liberation, and Justice in the Contemporary World: Towards Comprehensive Strategic Assessment and Foresight yang berlangsung di Istanbul, Republik Türkiye.
Persidangan anjuran The International Academic Forum for al-Quds Affairs dan The Islamic University of Gaza berkenaan menjadi platform pertemuan pemimpin universiti, ahli akademik dan sarjana antarabangsa bagi membincangkan peranan institusi ilmu dalam memperjuangkan keadilan, memperkukuh pendidikan dan menyokong masa depan rakyat Palestin.
Dalam ucaptama bertajuk ‘The Palestinian Cause and the Redefinition of the Roles of Universities and Knowledge Institutions: From Awareness Building to Advocacy and Ethical Responsibility’, Rektor UNISSA menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) perlu bergerak melangkaui usaha meningkatkan kesedaran kepada advokasi akademik berasaskan bukti dan pelaksanaan tanggungjawab etika secara berterusan.
Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir turut menggariskan tiga tanggungjawab utama universiti, iaitu memperkukuh kesedaran berasaskan ilmu dan kebenaran, memperkasa advokasi melalui penyelidikan serta penerbitan ilmiah, dan menterjemahkan tanggungjawab etika kepada dasar serta tindakan institusi yang berimpak.
Menurutnya lagi, universiti mempunyai tanggungjawab untuk memastikan isu Palestin difahami melalui penelitian sejarah, undang-undang antarabangsa, ekonomi, pendidikan dan kemanusiaan secara objektif, berintegriti dan berasaskan bukti yang boleh disahkan.
Beliau turut menekankan kepentingan literasi media dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara bertanggungjawab bagi menangani penyebaran maklumat palsu, manipulasi fakta serta salah tafsir terhadap perkembangan konflik.
Dalam mengetengahkan pengalaman UNISSA, Rektor UNISSA juga menjelaskan bahawa UNISSA telah melahirkan empat graduan warganegara Palestin, seorang di peringkat Sarjana Muda, dua orang di peringkat Sarjana dan seorang di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang berkaitan bahasa Arab dan Syariah.
Graduan Doktor Falsafah tersebut tambahnya lagi, kini sedang berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Syariah, UNISSA. Selain itu, dua pelajar Palestin juga sedang mengikuti pengajian pascasiswazah dalam bidang Usuluddin dan Pengurusan Pembangunan, dengan bantuan kewangan turut disalurkan bagi menyokong pengajian mereka.
Di samping menyediakan peluang pendidikan katanya lagi, UNISSA juga turut menyumbang kepada pengembangan kefahaman akademik mengenai isu Palestin melalui penyelidikan dan penerbitan ilmiah. Antara sumbangan tersebut ialah penerbitan buku hasil penulisan sekumpulan ahli akademik UNISSA bertajuk ‘Understanding the Israel-Palestine Conflict: A Study of History and the Socio-Political Dimension of International Law’.
Penerbitan berkenaan jelasnya, mencerminkan usaha UNISSA untuk memperkukuh wacana ilmiah mengenai konflik Israel-Palestin melalui penelitian sejarah, dimensi sosiopolitik dan perspektif undang-undang antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pembentukan kefahaman yang lebih mendalam dan berasaskan ilmu.
Rektor UNISSA turut mengemukakan lima cadangan untuk dipertimbangkan oleh pemimpin universiti yang menghadiri forum berkenaan, iaitu, pertama, memperluas akses pendidikan kepada pelajar dan ahli akademik Palestin melalui biasiswa, bantuan yuran pengajian, bimbingan akademik serta peluang pembelajaran jarak jauh.
“Kedua, mewujudkan jaringan penyelidikan antarabangsa yang melibatkan sarjana Palestin dalam bidang pendidikan, pemeliharaan warisan budaya, keperluan kemanusiaan dan pembangunan ekonomi mampan.
“Ketiga, memperkukuh usaha pemeliharaan dokumen sejarah dan bahan ilmiah melalui perpustakaan, arkib dan repositori digital yang selamat bagi memastikan khazanah ilmu serta bukti sejarah terus terpelihara.
“Keempat, membangunkan program pengajaran dan penglibatan masyarakat secara bersama bagi meningkatkan kefahaman sejarah, undang-undang antarabangsa, literasi digital dan nilai-nilai etika; dan kelima, menterjemahkan deklarasi kepada tindakan yang boleh diukur melalui penetapan inisiatif institusi, tanggungjawab pelaksanaan, garis masa dan petunjuk pencapaian yang jelas,” ujarnya lagi.
Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir juga menegaskan bahawa kerjasama universiti perlu bergerak daripada pernyataan solidariti kepada inisiatif akademik yang praktikal, mampan dan memberikan manfaat langsung kepada masyarakat Palestin.
Menurutnya lagi, ilmu pengetahuan bukan sekadar instrumen untuk memperoleh kelayakan akademik atau kejayaan memperoleh kerjaya, bahkan merupakan amanah yang perlu dimanfaatkan bagi memelihara Maqasid al-Syariah yang meliputi nyawa, akal, maruah dan kesejahteraan manusia.
Turut menyertai rombongan UNISSA ke persidangan tersebut, Pendaftar UNISSA, Dayang Zalinawati binti Awang Haji Mohaimin; dan Ketua Program Pra-Siswazah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, UNISSA, Dr. Amni Suhailah binti Abarahan.
Penyertaan delegasi UNISSA dalam persidangan antarabangsa berkenaan mencerminkan komitmen universiti untuk memperkukuh hubungan akademik antarabangsa, mengembangkan penyelidikan berimpak dan menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih adil, berilmu dan berperikemanusiaan.