Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei Lambak
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 November. – Antara aktiviti tahunan yang menjadi kemuncak setiap sesi persekolahan Sekolah Tunas Jaya (STJ) Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) Lambak ialah penganjuran Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Hadiah Murid Cemerlang serta Konsert Tahunan Sekolah.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil konvokesyen kepada murid-murid Kindergarten 3 dan Tahun 6 serta hadiah kepada murid-murid cemerlang.
Turut hadir ialah Jawatankuasa Tertinggi (JKTT) dan Jawatankuasa Tadbir (JKT), guru-guru besar Sekolah-sekolah PGGMB, ibu bapa dan penjaga serta murid-murid STJ PGGMB Lambak.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk graduan Kindergarten 3 dan Tahun 6, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan lagu sekolah, 'Pendidikan Teras Kejayaan'.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar STJ PGGMB Lambak, ucapan penghargaan daripada wakil murid Tahun 6, Majlis Konvokesyen bagi murid Kindergarten 3 dan Tahun 6 serta persembahan daripada murid-murid Kindergarten 1 hingga Kindergarten 3 dan Tahun 1 hingga Tahun 6.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada murid-murid cemerlang Kindergarten 1 hingga Kindergarten 3 dan Tahun 1 hingga Tahun 5 sebagai penghargaan atas pencapaian dan usaha mereka sepanjang sesi persekolahan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar STJ PGGMB Lambak menjelaskan bahawa majlis berkenaan merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha, kegigihan, komitmen, kreativiti serta semangat juang yang ditunjukkan oleh para murid sepanjang menempuh proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan komitmen berterusan ibu bapa dan penjaga dalam memberikan sokongan kepada pihak sekolah, sekali gus bersama-sama memainkan peranan dalam memajukan serta meningkatkan kecemerlangan sekolah.
Sementara itu, persembahan yang dipersembahkan oleh murid-murid Kindergarten 1 hingga Kindergarten 3 dan Tahun 1 hingga Tahun 6 turut memeriahkan suasana majlis serta menghiburkan para ibu bapa dan penjaga yang hadir.
Setiap persembahan memperlihatkan potensi, bakat dan kebolehan tersendiri para murid, sekali gus mencerminkan keyakinan serta kreativiti mereka dalam menyerlahkan bakat masing-masing.