Siaran Akhbar : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 November. - Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai situasi terkini demam campak (measles) di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Dalam tempoh 12 hingga 22 November 2026, sebanyak lapan kes demam campak telah disahkan melalui Ujian Serologi yang dijalankan oleh Makmal Rujukan Kebangsaan Kementerian Kesihatan.
Enam daripada kes tersebut adalah warganegara Brunei dan dua adalah warganegara asing (Bangladesh). Tiga daripada kes tersebut ialah anak damit yang belum mencapai usia 12 bulan dan belum layak menerima vaksin MMR, manakala lima kes lagi ialah orang dewasa berumur 31 ke 52 tahun yang tidak mempunyai rekod imunisasi MMR.
Kesemua pesakit telah menjalani penilaian klinikal. Sampel daripada pesakit-pesakit tersebut turut dihantar ke makmal rujukan di luar negara bagi menjalani Ujian PCR bagi ujian lanjut.
Kementerian Kesihatan melalui Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Brunei (The Brunei Centre for Disease Control and Prevention (Brunei CDC)) sedang giat menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca jangkitan termasuk pengesanan kontak rapat dan tempat -empat yang dikunjungi oleh pesakit.
Siasatan awal menunjukkan kemungkinan berkaitan dengan satu kes dari luar negara (import case). Kontak rapat telah dihubungi secara langsung dan diletakkan di bawah pemantauan kesihatan selama 21 hari.
Demam campak ialah jangkitan virus yang sangat mudah berjangkit dan merebak melalui udara yang mengandungi titisan cecair yang dijangkiti virus daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Virus ini boleh kekal di udara sehingga dua jam.
Gejala demam campak biasanya muncul dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus. Gejala termasuk demam panas, batuk, hidung berair, mata merah dan berair, tompok putih di dalam mulut dan ruam merah yang bermula di muka sebelum merebak ke seluruh badan.
Pesakit boleh menjangkiti orang lain bermula empat hari sebelum dan selepas ruam muncul.
Demam campak boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru (pneumonia), keradangan otak (ensefalitis) dan kematian. Risiko komplikasi adalah lebih tinggi dalam kalangan anak damit, wanita hamil dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Tiada rawatan antiviral khusus bagi demam campak, di mana rawatan yang diberikan bertujuan untuk melegakan gejala dan menangani komplikasi.
Vaksinasi merupakan perlindungan terbaik terhadap penyakit ini, yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan NBD bagi kanak-kanak pada usia 12 dan 18 bulan. Vaksin MMR (campak, beguk dan rubela) adalah selamat dan berkesan, di mana dua dos vaksin memberikan perlindungan sekitar 97 peratus terhadap demam campak.
NBD mencapai status eliminasi demam campak pada tahun 2015. Liputan vaksin MMR di negara ini adalah melebihi 97 peratus sepanjang lima tahun kebelakangan, yang memberikan imuniti kelompok yang tinggi. Berdasarkan penilaian risiko semasa, risiko jangkitan bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap adalah rendah.
Walau bagaimanapun, bagi kanak-kanak ataupun individu yang berisiko tinggi yang belum menerima vaksinasi atau belum melengkapkan dos vaksinasi mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti apabila terdedah kepada virus ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa dan penjaga diseru supaya memastikan anak-anak menerima vaksinasi lengkap mengikut jadual imunisasi serta membawa mereka ke janji temu vaksinasi. Status vaksinasi boleh disemak melalui kad kuning, Buku Kesihatan Kanak-kanak atau aplikasi BruHealth.
Ibu bapa dan penjaga boleh menghubungi pusat kesihatan terdekat untuk membuat perjanjian vaksinasi jika anak- anak mereka tertinggal pemberian dos vaksin.
Individu yang berisiko tinggi termasuk anak damit yang belum mencapai usia 12 bulan, wanita hamil dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dinasihatkan supaya segera mendapatkan nasihat doktor sekiranya terdedah kepada pesakit yang telah disahkan menghidap demam campak walaupun belum mengalami sebarang gejala.
Orang ramai yang mengalami gejala dinasihatkan untuk tidak menghadiri sekolah, tempat kerja atau tempat awam kecuali untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Sebelum mengunjungi klinik atau hospital, sila hubungi pusat kesihatan terdekat atau Talian Nasihat Kesihatan 148 untuk mendapatkan panduan. Gunakan sungkup muka, amalkan kebersihan (termasuk mencuci tangan serta menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin) serta maklumkan kepada petugas di kaunter pendaftaran mengenai gejala yang dialami serta sebarang sejarah perjalanan atau kontak dengan pesakit demam campak.
Orang ramai yang merancang untuk melakukan perjalanan ke luar negara dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga serta peka terhadap situasi penyakit berjangkit dan nasihat kesihatan di negara yang dikunjungi.
Sekiranya mengalami gejala semasa atau selepas perjalanan, dapatkan pemeriksaan perubatan dan maklumkan sejarah perjalanan kepada petugas kesihatan. Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan diri, termasuk mencuci tangan serta menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin.
Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi ini, memastikan perkhidmatan kesihatan bersiap siaga dan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan. Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan di ‘www.moh.gov.bn’ dan akaun Instagram ‘@mohbrunei’.