Pelajar Jepun didedahkan kepada sistem pendidikan menengah NBD

24 Nov 2026 - 6:48am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

MENTIRI, Isnin, 23 November. – Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM) hari ini menerima kunjungan daripada rombongan Kitatoshima College, Jepun, yang diketuai oleh Ms. Natsuki Yoshitome dan Ms. Sakura Handa.

Lawatan berkenaan turut disertai oleh 26 pelajar dari Kitatoshima College High School.

Terdahulu, ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Pengetua SMPDSM, Mentiri, Awang Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus di Bilik Persidangan sekolah berkenaan.

Awang Haji Malai Shah Eran dalam ucapannya berkata, program Pertukaran Pelajar Jepun selama dua hari ke SMPDSM berkenaan bertujuan untuk mendedahkan para pelajar Jepun kepada sistem pendidikan serta rutin persekolahan di peringkat menengah di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Selain itu, program berkenaan juga bertujuan untuk memperkenalkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), adat resam dan cara hidup masyarakat di negara ini, di samping meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, Melayu dan Jepun melalui interaksi serta pembelajaran bersama.

Program tersebut turut menjadi platform untuk memupuk sikap saling menghormati, toleransi dan mengeratkan hubungan persahabatan antara pelajar Jepun dengan pelajar NBD.

Di samping itu, para pelajar berpeluang memperoleh pengalaman baharu dan bermakna menerusi pelbagai aktiviti yang merangkumi pembelajaran di dalam kelas, kegiatan kokurikulum serta program ‘homestay’.

Rombongan turut diperkenalkan dengan makanan kuih tradisi, tarian asli dan permainan tradisi NBD.