30 pain darah berjaya dikumpulkan

24 Nov 2026 - 6:45am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan The Lions Club Bandar Seri Begawan

SUNGAI HANCHING, Isnin, 23 November. – The Lions Club Bandar Seri Begawan telah berjaya mengumpul sebanyak 30 pain darah menerusi Kempen Derma Darah kali kedua yang dianjurkan oleh kelab tersebut bagi menyokong keperluan bekalan darah negara.

Kempen yang bertemakan ‘Give Blood, Save Lives’ itu berlangsung di aras bawah OneCity Shopping Centre, dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan.

Inisiatif tersebut diketuai oleh Setiausaha Kelab, Gurdarshan Singh Cheema, yang berjaya menghimpunkan ahli kelab, sukarelawan serta para penderma darah dalam usaha menyumbang kepada pengukuhan bekalan darah negara.

Turut hadir semasa kempen diadakan ialah delegasi yang diketuai oleh Gabenor Daerah Lions Clubs International District 308-A2 bagi penggal 2026–2027, Dato’ Jimmy Tie Hien Hwa, bersama isteri, Datin PDG Betty Wong.

Kehadiran delegasi yang mewakili Negara Brunei Darussalam, Labuan, Sabah dan Sarawak itu mencerminkan semangat persaudaraan serantau serta komitmen bersama dalam mendukung khidmat kemasyarakatan.

Sebagai tanda penghargaan atas kemurahan hati para penderma, minuman ringan turut disediakan secara percuma kepada mereka yang menyertai kempen tersebut.

Kelab berkenaan juga akan terus memperkukuh kerjasama bersama Hospital RIPAS dalam menggalakkan budaya derma darah secara sukarela dan berterusan di seluruh negara, sekali gus membantu memenuhi keperluan bekalan darah bagi menyelamatkan nyawa.