TAIB Group Showcase 2.0 ketengahkan pelbagai produk, perkhidmatan

14 Nov 2026 - 6:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei

BERAKAS, Jumaat, 13 November. - Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) dan anak-anak syarikatnya telah melancarkan TAIB Group Showcase 2.0 bertempat di Atrium, The Airport Mall.

Pameran selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 November 2026 ini, mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan, perlindungan takaful, perkhidmatan pelancongan serta aktiviti interaktif untuk orang ramai.

Pelancaran pameran disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Penyelaras Dasar-Dasar Ekonomi) di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Datin Dayang Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim selaku Pengarah Urusan dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

Turut hadir, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Awang Norfarizal bin Othman; Pemangku Timbalan Jurukira Agung, Kementerian Kewangan, Dayang Hajah Latifah binti Haji Mahmud dan Pengurus Pelaburan Kanan, Darussalam Assets Sdn. Bhd., Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pusingan Pertama Kempen Gemilang 2026 anjuran Perbadanan TAIB. Penyampaian hadiah ini mencerminkan penghargaan Perbadanan TAIB terhadap sokongan dan kepercayaan para pelanggannya, di samping menggalakkan amalan menabung secara berterusan.

Kembali bagi edisi kedua, pameran ini menghimpunkan Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. (IITH), Darussalam Holdings Sdn. Bhd. (DHSB) dan TAIB Filling Station Sdn. Bhd. (TFS).

Para pengunjung berpeluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, mendapatkan khidmat nasihat daripada wakil syarikat serta menikmati tawaran promosi dan pelbagai aktiviti seisi keluarga.

 Antara tarikan utama pameran ialah aktiviti Instant Dip, yang membolehkan pelanggan yang memenuhi syarat menebus hadiah selepas membuat pembelian yang layak sepanjang acara berlangsung. Pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan Kad Perbadanan TAIB atau Scan-To-Pay di The Airport Mall adalah layak untuk menyertai aktiviti ini.

Pembelian yang memenuhi syarat menggunakan wang tunai atau kad lain di ruang pameran IITH, DHSB dan TFS yang mengambil bahagian juga adalah layak. Pelanggan boleh mengemukakan resit pembelian di Kaunter Instant Dip untuk menyertai aktiviti tersebut, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Turut menjadi tarikan ialah aktiviti e-Pasport digital, yang menggalakkan para pengunjung mengunjungi ruang pameran yang ditetapkan dan mengenali produk serta perkhidmatan yang ditawarkan sambil mengumpulkan cap digital.

Perbadanan TAIB turut menawarkan Promosi Pembiayaan sempena Ulang Tahun Ke-35 yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 30 November 2026. Promosi ini menawarkan kadar keuntungan Pembiayaan Hartanah sebanyak 3.70 peratus setahun bagi pelanggan dengan penyerahan gaji dan 4.00 peratus setahun bagi pelanggan tanpa penyerahan gaji. Tawaran yang terhad kepada 35 unit pertama ini turut merangkumi bantuan kos permulaan sehingga 5 peratus, tertakluk kepada terma dan syarat.

Bagi Pembiayaan Peribadi dan Pembaikan Rumah, pelanggan boleh menikmati kadar keuntungan istimewa serendah 5 peratus setahun serta pengecualian sebanyak 50 peratus daripada yuran pemprosesan apabila digabungkan dengan Pembiayaan Pendidikan, Pembiayaan Peralatan Pendidikan, Pembiayaan Kenderaan Bermotor, Pembiayaan Hartanah atau permohonan kad kredit yang memenuhi syarat.

Pemohon kad kredit kali pertama juga boleh menikmati penjimatan yuran tahunan kad kredit selama empat tahun, termasuk sehingga empat kad tambahan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Para pengunjung turut berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kempen Gemilang 2026, yang menawarkan peluang memenangi 35 hadiah dan berlangsung dari 1 April hingga 31 Disember 2026.

Pegawai-pegawai Perbadanan TAIB bersedia sepanjang pameran untuk memberikan penerangan mengenai tawaran tersebut serta membantu menjawab pertanyaan berkaitan pembiayaan, simpanan dan perbankan digital.

Sementara itu, IITH terus memperkukuh komitmennya terhadap transformasi digital dan kemudahan akses pelanggan dengan mengetengahkan perkhidmatan takaful digital melalui platform e-Dagang Insurans Islam TAIB. Inisiatif ini memudahkan pelanggan mengakses pelbagai produk dan perkhidmatan takaful melalui laman sesawang rasmi dan aplikasi mudah alihnya.

Antara produk yang diketengahkan oleh Insurans Islam General Takaful Sdn. Bhd. (IIGT) ialah Skim Takaful Kembara – Pakej Gold, berserta Kempen Promosi Cabutan Bertuah Takaful Kembara, yang menawarkan peluang kepada sehingga lima peserta setiap bulan untuk memenangi baucar perjalanan bernilai BND150 setiap seorang.

Turut diketengahkan ialah Skim Takaful Pemilik Rumah melalui Kempen Promosi Safe Home, yang menawarkan unit CCTV percuma kepada peserta yang layak berdasarkan siapa cepat, dia dapat. Kedua-dua kempen adalah tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

Turut diadakan juga penyampaian hadiah kepada pemenang terakhir Kempen Promosi Colour Your Life anjuran Insurans Islam Family Takaful Sdn. Bhd. (IIFT), yang menerima sebuah MacBook Neo. Hadiah turut disampaikan kepada lima pemenang Kempen Promosi Cabutan Bertuah Takaful Kembara serta penerima terpilih bagi Kempen Promosi Safe Home.

Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), anak syarikat DHSB, turut mengetengahkan Pakej Haji dan Umrah, pakej pelancongan ke luar dan dalam negara, perkhidmatan penjualan tiket penerbangan serta barangan jualan. The Airport Mall pula mempromosikan perkhidmatan penyewaan ruang dan pengurusan acara, termasuk Atrium dan Dewan Mahligai, manakala TFS menampilkan rangkaian minyak pelincir kenderaan serta promosi berkaitan.

Para pengunjung boleh menikmati tawaran eksklusif sepanjang pameran, termasuk diskaun sebanyak BND100 bagi pakej pelancongan ke luar negara dan Umrah untuk tahun 2027 setelah membuat tempahan dan pembayaran, diskaun sebanyak BND100 sehari bagi penyewaan ruang untuk tahun 2027 serta diskaun istimewa bagi minyak pelincir kenderaan.

Pelanggan yang membeli tiket penerbangan di ruang pameran DSSB akan menerima cenderamata percuma. Selain itu, pelanggan yang membuat sebarang transaksi di salah satu daripada ketiga-tiga ruang pameran berkenaan adalah layak untuk menyertai cabutan bertuah bagi peluang memenangi hadiah yang disediakan.

Melalui penganjuran TAIB Group Showcase 2.0, Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya terus memperkukuh hubungan dengan pelanggan dan masyarakat melalui interaksi secara langsung, di samping meningkatkan kesedaran mengenai rangkaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi TAIB Group Showcase 2.0 di Atrium, The Airport Mall, dari 13 hingga 15 November 2026, mulai pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam. Semua promosi, aktiviti dan penebusan hadiah adalah tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.taib.com.bn, www.insuranstaib.com.bn atau www.darussalam.com.bn serta ikuti akaun media sosial rasmi Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya bagi mendapatkan maklumat terkini.