Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sungai Besar
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 November. - Majlis Khatam Al-Quran boleh berperanan sebagai wadah dalam memperkukuh ukhuwah Islamiah serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan jemaah.
Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit selaku Penasihat I Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Kampung Sungai Besar berkata, majlis seumpama itu telah mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat Islam dalam menghidupkan syiar agama, di samping menyemai rasa kasih sayang, hormat-menghormati dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
“Selain itu, hubungan baik yang terjalin dalam kalangan jemaah hendaklah terus dipelihara dan diperkukuhkan dalam banyak cara termasuk melalui kehadiran berterusan ke masjid, penyertaan dalam aktiviti keagamaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan sentiasa berada dalam rahmat serta keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala jua,” jelasnya pada Majlis Khatam Al-Quran bagi Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar, awal pagi tadi.
Majlis berkenaan turut disertai oleh Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan Penasihat II AJKT Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhd. Hazman bin Haji Mohd. Hairol Azme.
Seterusnya bacaan Doa Khatam dan Doa Peliharakan Sultan dan Raja Isteri dan Negara Brunei Darussalam serta bacaan tahlil juga dipimpin oleh Awang Muhd. Hazman.