Kebawah DYMM akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, AELM

13 Nov 2026 - 9:08am

SIiaran Akhbar : Jabatan Perdeana Menteri

Foto : Jabatan Penerangan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan di Manila, Republik Filipina, pada 15 hingga 17 November 2026.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke Shenzhen, Guangdong, Republik Rakyat China, bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC Ke-33 (AELM) yang akan berlangsung pada 18 hingga 19 November 2026.

Republik Filipina, selaku Pengerusi ASEAN pada 2026, membawa tema ‘Navigating Our Future, Together’ yang mencerminkan komitmen Republik Filipina untuk memimpin ASEAN dengan bersepakat, jelas dan bermatlamat dengan tujuan untuk mengemudi rantau Asia Tenggara ke arah daya tahan yang lebih kukuh dan hubungan yang lebih erat, serta perubahan bermakna yang meletakkan rakyat sebagai teras kepada kemajuan.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dijangka akan memajukan perbincangan di bawah ketiga-tiga Tonggak Komuniti ASEAN, berpandukan keutamaan strategik di bawah kepengerusian Republik Filipina, iaitu tonggak keamanan dan keselamatan; koridor kemakmuran; serta pemerkasaan rakyat.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, para pemimpin telah meluluskan ‘Cebu Protocol to Amend the Charter of the Association of Southeast Asian Nations’ yang secara rasmi mencerminkan status Republik Demokratik Timor-Leste sebagai Negara Ahli ASEAN dalam Piagam ASEAN.

Protokol tersebut menandakan pindaan pertama terhadap Piagam ASEAN sejak ia mula berkuat kuasa pada 2008.

Sementara itu, Republik Rakyat China menjadi tuan rumah APEC bagi 2026 dengan membawa tema ‘Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together’ dan tiga keutamaan, iaitu Keterbukaan, Inovasi dan Kerjasama.

Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC merupakan acara kemuncak dalam Minggu Ketua-Ketua Ekonomi APEC (APEC Economic Leaders’ Week).

APEC ditubuhkan pada 1989 dengan 12 ekonomi pengasas, termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD), dan kini berkembang kepada 21 ekonomi di rantau Asia-Pasifik. Melalui kerjasama erat antara ahli ekonomi-ekonomi APEC, forum tersebut berusaha memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, di samping menggalakkan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, telus dan boleh dijangka.

Sebelum ini, Republik Rakyat China pernah menjadi tuan rumah APEC pada 2001 di Shanghai dan pada 2014 di Beijing.