BWMPK Sengkurong 'B' adakan Majlis Khatam Al-Quran

14 Nov 2026 - 6:28am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

 

JERUDONG, Jumaat, 13 November. - Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung Sengkurong ‘B’ (BWMPK SB) petang tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Program Membaca Al-Quran Satu Hari Dua Halaman (1H2H) yang kini memasuki musim keempat.

Majlis berlangsung di The Golden Village Hotel, Kampung Jerudong, Sengkurong, dengan kehadiran Pengerusi BWMPK SB, Dayang Hajah Rukiah binti Haji Mohd. Yassin.

Juga hadir, Timbalan Pengerusi BWMPK SB, Dayang Hajah Azizah binti Haji Mirasan serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli biro.

Atur cara dimulakan dengan Selawat Tafrijiyyah yang dipimpin oleh Dayang Hajah Rosnah binti Haji Tamin, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Dayang Hajah Azizah binti Haji Mirassan.

Acara diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam Al-Quran yang terdiri daripada 40 orang ahli. Seterusnya, bacaan takhtim diketuai oleh Dayang Hajah Rosnah, manakala Doa Khatam dibacakan oleh Dayang Hajah Rahimah binti Abas.

Bagi menyerikan lagi majlis keagamaan berkenaan, laungan Dikir Marhaban dipimpin oleh Dayang Hajah Mardiana binti Haji Leman sebelum acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Dayang Lauyah binti Haji Mohammad.

Pada penghujung majlis, para hadirin turut disajikan dengan tayangan video yang memaparkan perjalanan Majlis Khatam Al-Quran Program Membaca 1H2H bagi musim ketiga yang berlangsung pada tahun 2025.

Penganjuran program berkenaan juga akan diteruskan sebagai kalendar tahunan oleh BWMPK SB.

Antara lain majlis juga bertujuan untuk membudayakan pembacaan Al-Quran di kalangan ahli-ahli BWMPK SB dalam usaha meraih pahala dan mengeratkan silaturahim sesama ahli dalam suasana yang pernuh keberkatan.

Program Membaca Al-Quran 1H2H tersebut telah dikendalikan sejak tahun 2023 yang juga mencerminkan komitmen BWMPK SB dalam menyemarakkan amalan membaca Al-Quran secara konsisten dalam kalangan ahli, di samping memupuk kecintaan terhadap kitab suci Al-Quran melalui pembacaan secara berterusan.