Perkukuh kerjasama rentas agensi tangani ancaman senjata haram

14 Nov 2026 - 6:24am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

 

BRUNEI MUARA, Jumaat, 13 November. - Satu Latihan Kebangsaan mengenai Siasatan Senjata di bawah inisiatif Project Stonefish anjuran INTERPOL telah berlangsung selama tiga hari di The Centrepoint Hotel, Gadong.

Latihan tersebut disertai oleh seramai 30 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan, keselamatan serta jabatan berkaitan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik serta Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Project Stonefish memberi tumpuan kepada usaha menangani penyeludupan, pemerdagangan, pengalihan dan perolehan haram senjata api, peluru serta bahan yang boleh digunakan bagi tujuan ketenteraan dan awam, khususnya bahan nuklear dan radiologi.

Bahan-bahan ini berpotensi disalahgunakan oleh organisasi pengganas dan kumpulan jenayah terancang. Asia Tenggara pula dikenal pasti sebagai salah satu laluan transit penting bagi aktiviti penyeludupan tersebut.

Latihan ini disampaikan oleh Pegawai Khusus Senjata Api INTERPOL, Line Haidar; Pengurus Projek INTERPOL, Nadia Larsson; Pegawai Khusus Pencegahan Keganasan INTERPOL, Edward S. Lee; dan Pembantu Pasukan INTERPOL, Grant Alexander Hildreth.

Latihan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan peserta dalam siasatan berkaitan senjata, selain untuk memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara agensi dalam menangani ancaman keselamatan rentas sempadan.