Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Tutong
TUTONG, Khamis, 5 November. - Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong telah mengeluarkan kompaun terhadap sebuah syarikat kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-Kesalahan Rampai (Penggal 30) iaitu U Home Café (Waroeng Penyet Bowl) Cawangan Tutong bertempat di Berjaya Complex, Kampung Petani, Tutong dengan tawaran kompaun Bab 12 (1) (c) BND2,000 Skala Besar.
Syarikat berkenaan dikenakan denda kompaun sebanyak BND2,000 di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampai (Penggal 30), dan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda tersebut dalam masa tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan maka syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari BND2,000 dan tidak melebihi BND10,000, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari BND10,000 dan tidak melebihi BND30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong sentiasa memberi peringatan kepada mana-mana individu ataupun badan-badan korporat agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini bagi sama-sama menjaga kebersihan kawasan dan alam sekitar dengan membuang bahan-bahan buangan di kawasan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Sebarang aduan boleh menghubungi di talian hotline +673 7422084.