Simposium tingkatkan kesedaran mengenai buli

10 Nov 2026 - 5:42am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 November. - Pendidikan bukan sekadar proses menyampaikan ilmu pengetahuan. Pendidikan juga merupakan proses membentuk manusia yang mampu memahami dirinya, menghormati orang lain dan menyumbang secara positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam persekitaran sekolah yang semakin mencabar, pelajar berhadapan dengan pelbagai isu dan tekanan, termasuk cabaran hubungan rakan sebaya, buli, pengaruh media sosial, tekanan akademik serta isu kesejahteraan mental dan emosi.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fazlin bin Haji Amdan semasa menyampaikan ucapannya pada Simposium B.E.S.T. (Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab) bagi Tahun 2026 bertempat di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Cabaran-cabaran ini, jelas beliau, memerlukan pendekatan yang menyeluruh, bersepadu dan berterusan. Kita tidak boleh hanya bertindak apabila sesuatu masalah telah berlaku. Sebaliknya, kita perlu memperkukuh usaha pencegahan, membina kesedaran dan memupuk nilai-nilai positif seawal mungkin, agar setiap pelajar mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang baik, mengurus emosi dan membina hubungan yang sihat dengan orang lain.

“B.E.S.T. bukan sekadar satu akronim tetapi merupakan satu prinsip yang boleh membimbing tingkah laku dan membentuk budaya positif dalam komuniti sekolah. Pertama : Bantu - Nilai membantu mengingatkan kita bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan tiada sesiapa yang terpinggir atau dibiarkan menghadapi kesukaran bersendirian.

“Kedua : Empati - Empati merupakan keupayaan untuk memahami perasaan, pengalaman dan perspektif orang lain. Nilai ini penting dalam membina hubungan yang sihat serta mengurangkan tingkah laku yang boleh menyakiti atau merendahkan maruah orang lain.

“Ketiga : Sayang - Kasih sayang merupakan asas kepada pembentukan persekitaran yang selamat, inklusif dan menyokong perkembangan setiap pelajar. Di peringkat sekolah, nilai kasih sayang perlu dizahirkan melalui budaya yang menghormati setiap individu, bebas daripada penghinaan dan diskriminasi serta memberikan ruang kepada pelajar untuk berasa selamat, diterima dan dihargai. Keempat : Tanggungjawab - Tanggungjawab pula mengingatkan kita bahawa setiap tindakan mempunyai kesan dan setiap individu perlu memainkan peranannya dalam membina komuniti yang positif. Pelajar perlu dibimbing untuk bertanggungjawab terhadap tingkah laku, tutur kata, keputusan dan interaksi mereka, termasuk ketika menggunakan teknologi digital dan media sosial,” terang beliau.

Oleh yang demikian, jelas beliau, usaha membentuk pelajar yang seimbang dan berdaya tahan tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja. Ia memerlukan kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, kaunselor sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan dan masyarakat.

Dalam hal ini, peranan kaunselor sekolah amat penting, khususnya dalam melaksanakan intervensi awal, memberikan sokongan psikososial, meningkatkan kemahiran sosial dan emosi pelajar serta membantu pihak sekolah mengenal pasti keperluan pelajar secara lebih terancang.

Guru-guru pula, tambah Dr. Eddy Fazlin, memainkan peranan penting sebagai pembimbing dan contoh teladan melalui interaksi harian bersama pelajar. Ibu bapa dan penjaga turut berperanan memperkukuh nilai-nilai yang diterapkan di sekolah melalui didikan, komunikasi terbuka dan sokongan berterusan di rumah.

Terdahulu, Majlis Simposium B.E.S.T. anjuran Kementerian Pendidikan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Sammali bin Haji Adam, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Awang Ahmad Faisal bin Haji Zainal Abidin selaku Pengerusi Bersama Majlis.

Pada sebelah pagi, simposium diisikan dengan ucaptama daripada Profesor Dr. Mansor Abu Talib, FASc, dari Sultan Hassanal Bolkiah Institute of Education (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan tajuk ‘Dari B.E.S.T ke B.E.L.A : Memastikan Setiap Pelajar Selamat dan Sejahtera’.

Kemudian dikuti dengan ucaptama secara dalam talian bersama Head of Guidance and Counseling Study Program, Faculty of Educational Sciences, Universitas Pendidikan Indonesia, Associate Professor Dr. Ipah Saripah, M.Pd dengan tajuk ‘Daripada Janji Kepada Amalan : Menggembleng Sekolah, Keluarga dan Komuniti Menentang Buli’.

Manakala pada sebelah petang, simposium diisikan dengan kongsi sama daripada Cyber Security Brunei yang disampaikan oleh Penganalisa Keselamatan Siber, Jurulatih Kesedaran Keselamatan Siber, Dayang Ida Frida binti Abu, dengan tajuk ‘Simulasi Cara Menangani Buli Siber’.

Seterusnya diikuti dengan kongsi sama daripada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertajuk ‘Hentikan Membuli : Usaha dan Tanggungjawab Bersama’ yang disampaikan oleh Pegawai Penyiasat di Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, P/ASP Dayangku Noorasyiqin binti Pengiran Dato Haji Sallehuddin.

Simposium B.E.S.T. pada tahun ini yang bertemakan ‘Setiap Pelajar Selamat dan Sejahtera : Dari Janji Kepada Amalan’ merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Sekolah-Sekolah dan Bahagian Kaunseling.

Simposium ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu buli dan kesannya; memberikan pendedahan tentang strategi pencegahan dan intervensi; menggalakkan budaya sekolah dan komuniti yang selamat; memperkukuh kerjasama antara agensi dan profesional, seterusnya menghasilkan cadangan tindakan yang boleh diukur.

Turut hadir pada simposium berkenaan ialah ketua-ketua jabatan di Kementerian Pendidikan, penghulu mukim, ketua kampung, pemimpin sekolah, wakil agensi penguatkuasaan serta guru-guru kaunseling sekolah.