Sebuah syarikat dikenakan kompaun

13 Nov 2026 - 5:48am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Temburong

TEMBURONG, Khamis, 12 November. - Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Temburong telah melaksanakan pemeriksaan melalui kamera litar tertutup di kawasan belakang Bangunan Pasar, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

Hasil pemeriksaan tersebut didapati satu buah syarikat dikenakan tindakan kompaun atas Perlanggaran Peruntukkan di bawah Akta Kesalahan Rampaian iaitu kesalahan membuang sampah perabot dengan tidak teratur dan bukan di tempat yang dikhaskan.

Syarikat Afsara Restoran telah dikenakan denda sebanyak BND1,000 atas kesalahan tersebut dan diberikan tempoh satu minggu untuk menjelaskan pembayaran kompaun.

Kesalahan sedemikian boleh diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Rampaian Bab 12(1) iaitu sabit kesalahan denda tidak melebihi BND1,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi BND3,000 bagi kesalahan seterusnya dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan itu, Jabatan Daerah Temburong mengingatkan kepada orang ramai dan pemilik-pemilik syarikat perniagaan agar tidak mengambil ringan mengenai isu kebersihan. Tindakan itu adalah langkah berterusan Jabatan Daerah Temburong agar semua pihak sama-sama mengambil perhatian dan tanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar.