Oleh : Khartini Hamir
Foto : Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini memperingati Hari Statistik Kebangsaan 2026 dengan mengadakan sesi dialog peringkat kebangsaan di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), yang memberi tumpuan kepada peranan statistik berkualiti tinggi dalam menyokong pembangunan negara menjelang Wawasan Brunei 2035.
Majlis disempurnakan oleh tetamu kehormat, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Hari Statistik Kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Memperkukuh Data Sektoral bagi Pertumbuhan Industri’, yang memberi tumpuan kepada kepentingan data dalam mengukur prestasi industri, mengenal pasti cabaran dan peluang pertumbuhan, serta membantu kerajaan merancang pembangunan dan sektor swasta membuat keputusan perniagaan yang lebih baik.
Dalam ucapan utama tetamu kehormat, menekankan kepentingan data dalam menyokong pembangunan negara, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Pertama Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 bagi Tahun 2025 mengenai peranan data dalam perancangan dan pembuatan keputusan strategik.
Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri turut menggariskan kepentingan penggunaan data dalam menyokong pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi, khususnya pembangunan sektor-sektor keutamaan dan usaha kepelbagaian ekonomi negara. Usaha memperkukuh data sektoral memerlukan komitmen dan kerjasama bersepadu seluruh kerajaan bagi memastikan data yang berkualiti, relevan dan tepat pada masanya.
Kerjasama antara kementerian dan jabatan kata Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri lagi, juga penting bagi menangani jurang data, mengurangkan pertindihan serta meningkatkan keberkesanan perkongsian dan penggunaan data untuk menyokong pembangunan negara.
Tetamu kehormat turut menyatakan bahawa transformasi digital kerajaan membuka peluang untuk memperkukuh integrasi dan perkongsian data antara agensi melalui penggunaan infrastruktur dan platform digital yang lebih berkesan.
Usaha ini jelas Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, dapat meningkatkan kecekapan perkongsian data serta ketepatan masa penghasilan dan analisis statistik, di samping memastikan keselamatan, kerahsiaan dan tadbir urus data terus terpelihara.
Tambah Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri lagi, ekosistem data yang lebih bersepadu dan kerjasama erat antara agensi seterusnya membolehkan data sedia ada dimanfaatkan bagi menghasilkan statistik dan maklumat yang bermakna untuk menyokong perancangan serta pembuatan keputusan yang lebih baik.
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Penyelaras Dasar-Dasar Ekonomi), KEPI, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan), KEPI, Dayang Hajah Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee; serta pegawai-pegawai kanan dari jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawah KEPI, dan pihak-pihak berkepentingan.
Dialog bertemakan ‘Memperkukuh Data Sektoral bagi Pertumbuhan Industri’ yang dikendalikan oleh Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Dayang Heidi Farah Sia binti Abd. Rahman, selaku Moderator bagi membincangkan bagaimana data pentadbiran yang tepat, lengkap dan tepat pada masanya daripada agensi-agensi menyokong statistik negara yang berkualiti.
Data tersebut juga menyokong pemantauan sektoral ke arah kemajuan ekonomi dan Wawasan Brunei 2035.
Perbincangan menggunakan contoh daripada sektor pertanian dan pelancongan untuk menunjukkan penggunaan praktikal data dalam menyasarkan bantuan, memahami prestasi industri dan menilai program.
Dialog tersebut juga menekankan tiga perkara sebagai asas penting bagi perkongsian data dan integrasi digital yang berkesan, iaitu kerjasama antara agensi yang lebih erat, piawaian dan definisi yang seragam, dan tanggungjawab yang jelas dalam penyimpanan rekod. Asas tersebut diperlukan untuk mendukung kerajaan yang berpandukan data.
Majlis berkenaan menyediakan platform untuk berkongsi pandangan, mengenal pasti jurang data dan keperluan data baharu serta meneroka peluang kerjasama antara agensi bagi memperkukuh perkongsian dan penggunaan data.
Sesi dialog tersebut menampilkan penceramah dari Jabatan Perangkaan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Jabatan Perancangan serta Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC).
Perbincangan tersebut mengetengahkan kepentingan membangunkan ekosistem data yang lebih bersepadu dan responsif bagi menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti, pembangunan industri serta usaha kepelbagaian ekonomi, selaras dengan keutamaan pembangunan negara.
Sesi berkenaan turut menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara agensi bagi memastikan statistik negara kekal relevan, terbuka dan bermanfaat kepada penggubal dasar, pihak industri serta pengguna data yang lain.
Sambutan Hari Statistik Kebangsaan 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus data, memajukan transformasi digital dan meningkatkan literasi statistik bagi mendukung pembangunan negara serta usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035.