Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Khamis, 12 November. – Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 bagi acara pertandingan badminton hari ini menutup tirainya dengan Majlis Penyampaian Pingat yang mengambil tempat di Kompleks Sukan Tutong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.
Secara keseluruhannya, pertandingan badminton berkenaan telah dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kategori Berpasukan; Kategori Perseorangan Lelaki dan Wanita; dan juga Kategori Beregu Lelaki dan Wanita.
Bagi Kategori Berpasukan, pingat emas dirangkul oleh pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSBD); diikuti dengan pingat perak bersama dimenangi oleh pasukan Daerah Brunei dan Muara (DBM) dan pasukan Daerah Temburong; manakala pasukan Daerah Tutong menerima pingat gangsa.
Sementara bagi Kategori Perseorangan Lelaki, pingat emas telah disandang oleh Dessen Chung Min Tin dari pasukan DBM; diikuti dengan Md. Talipuddin bin Ermadena dari pasukan MSSBD sebagai pemenang pingat perak; manakala pingat gangsa bersama milik Lim Ren Jun dari pasukan Daerah Tutong dan Abdul Mateen bin Seri Puspa dari pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB).
Bagi Kategori Perseorangan Wanita pula telah menyaksikan pingat emas dirangkul oleh Iszchi Meij Reciproco Borro dari pasukan DBM; manakala pingat perak diberikan kepada Rachel Pong Xue Ting dari pasukan MSSBD; sementara pingat gangsa bersama disandang oleh Musfirah binti Haji A. Yussop dari pasukan Daerah Tutong dan Nurul Fatin Faarihah binti Mohd. Suhud dari pasukan Daerah Temburong.
Sementara itu, pemenang pingat emas bagi Kategori Beregu Lelaki dirangkul oleh Md. Haziq bin Roze dan Md. Izzuddin bin Md. Ermadena dari pasukan MSSBD; manakala pingat perak pula diberikan kepada Md. Farish Fakhrullah bin Awang Hamzah dan Md. Syazri bin Sumardi dari pasukan DBM; diikuti dengan pingat gangsa bersama diterima oleh Md. Akmal Firdaus bin Md. Ali dan Md. Raihan Rahman bin Azmay dari pasukan MS ABDB; dan juga pasangan Md. Syazwi bin Sumardi dan Md. Danish Zharfan bin Ashrin dari pasukan Daerah Tutong.
Bagi Kategori Beregu Wanita pula menyaksikan pingat emas disandang oleh pasangan dari pasukan MSSBD, Nurul Asyikin Mu’izzah binti Md. Suhud dan Nyau Chai Yie @ Sherreen; diikuti dengan pingat perak diterima oleh Chenelle Moo Shann dan Ngau Fong Ying dari pasukan Daerah Belait; manakala pingat gangsa bersama diperoleh pasangan Najwa Adyarina binti Haji Amidon dan Nur Insyirah Wafiqah Amirah binti Ismail dari pasukan DBM; dan juga pasangan daripada pasukan Daerah Temburong, iaitu Mary Magdalena Glory binti Jumat dan Nur Izzati Syahirah binti Haji Abdul Razak.
SKBD yang mula diadakan pada 2012 merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang menjadi wadah menghimpunkan atlet dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan.
Sehubungan itu, acara badminton berkenaan merupakan antara sukan yang dipertandingkan dalam SKBD Ke-V 2026 yang membawa tema ‘Bersama Mengejar Kegemilangan’, sekali gus menjadi platform bagi para atlet untuk memperlihatkan keupayaan, meningkatkan prestasi serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan kontinjen yang bertanding.
Acara berkenaan juga diharap akan dapat menyemarakkan lagi pembangunan sukan badminton di negara ini, di samping mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, kejohanan melalui SKBD juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti bakat atlet yang berpotensi, khususnya dalam kalangan belia, sebagai persediaan mewakili negara ke kejohanan sukan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa.