UBD perkukuh penglibatan global komuniti universiti

13 Nov 2026 - 7:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. – Universiti Brunei Darussalam (UBD), melalui Pejabat Penolong Naib Canselor (Penglibatan Global), telah menganjurkan satu sesi syarahan yang menampilkan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov, pada baru-baru ini.

Syarahan bertajuk ‘Russia and Brunei Darussalam : 35 Years of Partnership, Cultural Affinity and Shared Regional Perspectives’ itu diadakan bagi memperingati 35 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara, sekali gus mengetengahkan hubungan erat yang sekian lama terjalin berlandaskan rasa saling menghormati, kepercayaan dan nilai-nilai bersama.

Dalam syarahan berkenaan, Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov mengimbas kembali perkembangan hubungan dua hala yang bukan sahaja terjalin melalui hubungan diplomatik rasmi, malah turut diperkukuh menerusi minat dan penghargaan bersama terhadap masyarakat, budaya serta tradisi kedua-dua buah negara.

Tuan Yang Terutama turut berkongsi pandangan mengenai bidang-bidang kepentingan bersama, termasuk kestabilan serantau, kerjasama ASEAN dan tanggungjawab antarabangsa, di samping mengetengahkan peluang untuk memperkukuh hubungan serta pertukaran kebudayaan.

TYT juga menyatakan bahawa Persekutuan Rusia dan NBD mempunyai komitmen yang sama terhadap kerjasama antarabangsa berasaskan prinsip saling menghormati, kesaksamaan kedaulatan dan dialog.

Seterusnya TYT turut menekankan bahawa Sambutan 35 Tahun Hubungan Diplomatik kedua-dua buah negara membuka peluang untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, tenaga, teknologi, pendidikan dan kebudayaan.

Melalui mekanisme yang diterajui ASEAN serta organisasi antarabangsa, kedua-dua buah negara berupaya memperkukuh persefahaman dan menangani cabaran bersama. Usaha merapatkan hubungan antara institusi, sektor perniagaan dan rakyat kedua-dua buah negara juga diyakini dapat menyokong pembangunan negara serta menyumbang kepada persekitaran antarabangsa yang lebih bersifat kerjasama.

Walaupun dipisahkan oleh jarak geografi, Persekutuan Rusia dan NBD berkongsi nilai-nilai kebudayaan yang menjadi asas dalam memperkukuh persefahaman bersama. Syarahan berkenaan turut menekankan kepentingan dialog berterusan dan penglibatan konstruktif dalam mengeratkan kerjasama serta hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.

Sesi tersebut memberi pendedahan dan pengetahuan yang bermanfaat kepada para pelajar serta warga akademik UBD mengenai hubungan Persekutuan Rusia-NBD dan perkembangan serantau semasa, di samping menggalakkan pertukaran akademik dalam bidang diplomasi dan hal ehwal antarabangsa.

Setakat ini, UBD telah menerima seramai 13 pelajar dari Persekutuan Rusia yang mengikuti pengajian di pelbagai fakulti dan pusat pengajian, termasuk Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD, Institut Pengajian Dasar serta Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Pada Oktober lalu, Amal Nabilah Saidi, pelajar program Sarjana Sains (MSc) dalam bidang Biologi melalui Penyelidikan dan bekas Duta Global UBD bagi 2023, telah mewakili NBD pada Sidang Kemuncak Belia ASEAN-Rusia Kali Ke-6 di Vladivostok. Beliau turut menyumbang kepada perbincangan mengenai pendidikan marin, pemuliharaan lautan dan warisan maritim.

Siri Syarahan Duta-Duta (Ambassadors’ Lecture Series) merupakan wadah bagi menggalakkan dialog diplomatik dan pertukaran ilmu, sekali gus meluaskan perspektif antarabangsa serta meningkatkan pemahaman warga UBD mengenai perkembangan global.

Inisiatif tersebut juga mencerminkan komitmen UBD dalam memperkukuh penglibatan global serta menghubungkan komuniti universiti dengan pelbagai perspektif dan perkembangan di peringkat antarabangsa.