NBD, Republik Persekutuan Jerman terus memperkukuh kerjasama

13 Nov 2026 - 7:06am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

JERUDONG, Khamis, 12 November. - Kedutaan Republik Persekutuan Jerman di Negara Brunei Darussalam (NBD) mengadakan Majlis Resepsi sempena Hari Kebangsaan Republik Persekutuan Jerman (Day of German Unity) berlangsung di Dewan Utama Berkshire, Tarindak d’Polo, Jerudong, malam tadi.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada isteri kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke NBD, Dr. Imke Börner, diikuti dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.

Sementara itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke NBD, Tuan Yang Terutama Weert Börner semasa berucap pada majlis tersebut antara lain berkata, hubungan dua hala antara NBD dan Republik Persekutuan Jerman terus memperlihatkan perkembangan positif sepanjang 18 bulan kebelakangan ini, mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama melalui pertukaran lawatan peringkat tinggi serta pembangunan kapasiti.

Beliau turut menyentuh mengenai Lawatan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman pada Mei 2026 atas jemputan Presiden Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Frank-Walter Steinmeier.

Lawatan Rasmi kali keempat Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Republik Persekutuan Jerman itu merangkumi kunjungan ke Berlin dan Hamburg.

Tuan Yang Terutama Weert Börner turut berkongsi maklum balas positif daripada Bahagian Asia Tenggara di Pejabat Luar Negeri Jerman di Berlin yang menyatakan bahawa banyak perkara mengenai NBD sebelum ini belum mendapat perhatian sewajarnya.

Perkara itu, jelas Tuan Yang Terutama mencerminkan ruang yang luas untuk terus meneroka potensi kerjasama serta memperdalam pemahaman antara kedua-dua negara. Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli kor diplomatik dan para jemputan khas.

Hubungan diplomatik antara NBD dan Republik Persekutuan Jerman telah terjalin pada 1 Mei 1984. NBD telah membuka Kedutaannya di Bonn pada tahun 1991, sebelum dipindahkan ke Berlin pada tahun 1999.

Kedua-dua buah negara turut menjalinkan kerjasama serta memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang antaranya perdagangan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan kerjasama teknikal.