DBM dominasi acara Kumite, Kata Berpasukan Karate SKBD Ke-V

13 Nov 2026 - 6:56am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. – Perlawanan Akhir Sukan Karate bagi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V (SKBD Ke-V), Tahun 2026 diadakan malam tadi, di Pusat Belia, di ibu negara, di sini.

Daerah Brunei dan Muara (DBM) berjaya meraih kemenangan 5-0 setelah mengalahkan Daerah Belait melalui Kata Berpasukan Lelaki; manakala Daerah Tutong mengalahkan Daerah Belait dengan kemenangan 5-0 melalui Kata Berpasukan Wanita.

Sementara itu, DBM berjaya menewaskan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dengan kemenangan 3-1 menerusi Kumite Berpasukan Lelaki; manakala Kumite Berpasukan Wanita pula dimenangi oleh DBM setelah mengalahkan Daerah Tutong 3-0.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan pingat kepada para pemenang, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.

Terdahulu, perlawanan separuh akhir karate melalui acara Kata Berpasukan Lelaki, Kata Berpasukan Wanita, Kumite Berpasukan Lelaki serta Kumite Berpasukan Wanita dan seterusnya perlawanan separuh akhir karate melalui acara Kata Berpasukan Wanita dan Kumite Berpasukan Lelaki juga diadakan di pusat berkenaan.