Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam
TUNGKU LINK, Rabu, 25 November. - Pelajar di Universiti Brunei Darussalam (UBD) memperkukuh persefahaman dan hubungan rentas budaya antara pelajar tempatan dan antarabangsa menerusi Mosaic 2026 : A Celebration of Cultures, sebuah inisiatif pimpinan pelajar yang menghimpunkan komuniti yang berbeza untuk berkongsi warisan mereka, bertukar perspektif dan memupuk rasa kekitaan yang lebih tinggi di kampus.
Dianjurkan oleh Eksekutif Kolaborasi dan Penglibatan Antarabangsa (EICE) Majlis Perwakilan Pelajar (PMUBD), dengan kerjasama Komuniti Pelajar Antarabangsa (ISC) UBD, Kolej Kediaman (RESCO) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, acara tersebut diadakan hari ini, di The Core, UBD, Tungku Link.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan Mosaic 2026, Timbalan Dekan (Pengalaman dan Sokongan Pelajar), Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Dr. Nurul Huda Mohammad Ramli.
Sebanyak 10 reruai yang mewakili Brunei Darussalam, Jepun, China, Pakistan, Timor-Leste, Viet Nam, Filipina, Malaysia, Afrika dan Rusia mengubah tempat acara tersebut menjadi pameran budaya dari seluruh dunia.
Pengunjung yang hadir berpeluang untuk meneroka pakaian tradisional, merasa pelbagai masakan, menemui kraf budaya dan mengambil bahagian dalam permainan sambil mempelajari tentang adat dan bahasa yang menjadikan setiap budaya itu unik.
Program tersebut juga menampilkan barisan persembahan budaya dan muzik yang meriah, dengan para pelajar naik ke pentas untuk mempamerkan pelbagai gaya tarian dan muzik.
Sorotan termasuk tarian tradisional Viet Nam yang diiringi Bèo Dạt Mây Trôi serta persembahan budaya Brunei iaitu Dundang-Dundang dan Joget Seri Kenangan oleh Kelab Budaya Tarian (DCC), dengan yang terakhir dipersembahkan dengan kerjasama Kelab Orkestra Gulintangan Varsiti (KOGV) dan Kelab Fonemik UBD.
Pengunjung juga mengambil bahagian dalam Cabaran Pasport Budaya, meneroka reruai, berinteraksi dengan wakil budaya dan mempelajari tentang tradisi yang berbeza. Peserta yang melengkapkan cabaran tersebut layak menyertai cabutan bertuah.
Bagi penganjur pelajar, acara tersebut amat bermakna dalam melihat komuniti yang berbeza berkumpul melalui pengalaman bersama.
"Yang menjadikan Mosaic bermakna bagi kami ialah melihat para pelajar berbangga berkongsi dari mana mereka berasal," kata Ketua EICE, Dayang Nur Azeela Natasya binti Haji Hamidon.
"Setiap reruai mempunyai kisahnya tersendiri, dan sungguh indah melihat pengunjung bertanya soalan, mencuba perkara baharu dan mempelajari tentang budaya yang mungkin tidak biasa bagi mereka. Kadang-kadang, pertukaran budaya bermula dengan perbualan yang mudah," tambahnya.
Raimunda Amaral Ximenes, seorang pelajar antarabangsa dari Timor-Leste yang mengikuti Sarjana Ekonomi Gunaan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Brunei Darussalam (UBD SBE), juga mengalu-alukan peluang untuk mewakili negaranya.
"Saya gembira dapat memperkenalkan Timor-Leste kepada semua orang, terutamanya melalui pakaian tradisional kami, Tais, yang membawa bahagian penting dalam identiti budaya kami.
"Saya rasa menarik melihat orang bertanya tentang tradisi kami. Pada masa yang sama, saya menemui perkara tentang budaya lain yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Ia pengalaman yang sungguh indah," katanya lagi.
Menerusi inisiatif pimpinan pelajar seperti Mosaic 2026, UBD terus mencipta peluang untuk pelajar belajar daripada perspektif yang berbeza dan membina hubungan merentas budaya, menyumbang kepada komuniti kampus yang lebih inklusif dan berhubung di peringkat antarabangsa.