Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Syarikat B-jaur Events hari ini mengadakan Pesta Seni Rakyat 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, bertempat di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, di sini.
Sehubungan itu, majlis perasmian pesta berkenaan diadakan petang tadi yang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah selaku tetamu kehormat.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan daripada Pengurus Besar Syarikat B-jaur Events, Dayang Noor Hanani binti Harpan.
Dayang Noor Hanani dalam ucapannya menjelaskan pesta berkenaan menandakan permulaan sebuah perayaan yang menyatukan kreativiti, budaya, komuniti, gaya hidup, makanan, kopi, seni, dan keusahawanan tempatan dalam satu ruang bersama.
Pesta Seni Rakyat dihasratkan lebih daripada sekadar acara, ujarnya.
"Ia adalah platform untuk mempamerkan ekonomi kreatif Brunei yang semakin berkembang, menyokong perniagaan tempatan, menonjolkan bakat tempatan, dan mewujudkan pengalaman bermakna untuk pengunjung dari semua peringkat umur.
"Untuk memudahkan semua orang meneroka, Pesta Seni Rakyat dibahagikan kepada empat zon utama iaitu Kampong Seni, District Mode, Rasa dan Irama, dan Aroma & Coffee Alley," tambahnya.
Tahun ini, terang beliau lagi, festival tersebut menjadi lebih istimewa dengan penyertaan daripada negara jiran kita, Malaysia, membawa elemen rentas sempadan dari segi budaya, kreativiti, dan pertukaran komuniti.
Sepanjang acara ini berlangsung, beliau mengongsikan bahawa para pengunjung akan berpeluang untuk meneroka pelbagai gerai terpilih, aktiviti kreatif, persembahan budaya, vendor makanan dan kopi, jenama fesyen dan gaya hidup, bengkel seni, dan pengalaman berasaskan komuniti.
"Salah satu tarikan utama ialah Pesta Kikik, yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kikik Negara Brunei Darussalam (PEKIKIK) dan Majlis Belia Brunei, menampilkan pameran layang-layang tradisional, bengkel membuat layang-layang, dan persembahan menerbangkan layang-layang," ujarnya lagi.
Beliau dalam ucapannya seterusnya berharap agar pesta berkenaan bukan sahaja dapat mewujudkan pengalaman yang menyeronokkan untuk pengunjung, tetapi juga mengukuhkan penglibatan komuniti, menggalakkan penyertaan belia, mempromosikan kreativiti tempatan, dan menyumbang kepada landskap budaya dan kreatif yang lebih cergas di Negara Brunei Darussalam.
Acara kemudiannya diakhiri dengan tetamu kehormat dijemput untuk melawat vendor-vendor yang mengambil bahagian dalam pesta berkenaan.
Juga hadir, pegawai-pegawai kanan dari KKBS, serta Yang Di-Pertua PEKIKIK.