Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
GADONG, Khamis, 5 November. - Usaha memperkukuh keterjaminan makanan, menyelaraskan piawaian serta memudah cara perdagangan produk makanan siap di rantau ASEAN menjadi antara fokus utama Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Produk Makanan Siap (PFPWG) yang berlangsung di negara ini selama lima hari, bermula 2 hingga 6 November 2026.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) berkenaan menghimpunkan pegawai-pegawai daripada 11 Negara Anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN serta organisasi rakan dialog bagi membincangkan kerjasama serantau dalam memperkukuh sistem keterjaminan dan pengawalseliaan makanan.
Sehubungan itu, Majlis Pembukaan Mesyuarat diadakan di Songket Hall 1, Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Ketua Pegawai Teknikal BDFA, Dr. Noraskhin binti Haji Mohd. Fadillah.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Noraskhin mengalu-alukan kehadiran semua peserta serta menekankan kepentingan penyelarasan piawaian makanan dan pengiktirafan terhadap sistem pemeriksaan dan pensijilan kebersihan makanan bagi produk makanan siap dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.
Beliau turut menegaskan komitmen Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk terus bekerjasama rapat dengan Negara-negara Anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan rakan-rakan serantau dalam memajukan agenda keterjaminan makanan serantau, di samping menyokong ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif dan berdaya tahan.
Sepanjang lima hari berkenaan, beberapa mesyuarat jawatankuasa diadakan secara berturut-turut, iaitu Mesyuarat Ke-29 Jawatankuasa Makmal Pengujian Makanan ASEAN (ASEAN Food Testing Laboratory Committee-AFTLC); Mesyuarat Ke-16 Jawatankuasa Sektoral Bersama mengenai Pengaturan Pengiktirafan Bersama (MRA) bagi Sistem Pemeriksaan dan Pensijilan Kebersihan Makanan untuk Produk Makanan Siap (JSC MRA on PF); serta Mesyuarat Ke-14 Jawatankuasa ASEAN mengenai Penyelarasan Piawaian Produk Makanan Siap (SEAN Committee on Harmonization of Prepared Foodstuff Standards-ACHPFS).
Ditubuhkan pada 2003 di bawah Jawatankuasa Perundingan ASEAN mengenai Piawaian dan Kualiti (ASEAN Consultative Committee for Standards and Quality-ACCSQ), PFPWG memainkan peranan penting dalam usaha menghapuskan halangan teknikal kepada perdagangan dalam sektor produk makanan siap.
Susulan penerimaan Dasar Keselamatan Makanan ASEAN pada 2015 dan Rangka Kerja Pengawalseliaan Keselamatan Makanan ASEAN (ASEAN Food Safety Regulatory Framework-AFSRF) pada 2016 oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN, Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN serta Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN, PFPWG turut diberikan tanggungjawab menyelaras pembangunan Pasukan Petugas bagi AFSRF yang terdiri daripada wakil rasmi sektor perdagangan, pertanian dan kesihatan.
Mesyuarat berkenaan juga menjadi platform bagi membincangkan pengaturan pengiktirafan bersama, kerjasama dalam rangka kerja pengawalseliaan keselamatan makanan serta strategi menangani isu dan cabaran baharu dalam sektor produk makanan siap.
Selain itu, perbincangan turut merangkumi Pelan Sektoral ACCSQ 2026–2030 yang akan menjadi hala tuju bagi meneruskan usaha penyelarasan piawaian serta memperkukuh sistem pengawalseliaan keselamatan makanan yang berdaya tahan di rantau ini.
Mesyuarat PFPWG dijangka menyumbang kepada pembentukan hala tuju masa depan piawaian produk makanan siap ASEAN, mencerminkan usaha kolektif rantau ini dalam memastikan keterjaminan makanan, di samping mengurangkan halangan teknikal kepada perdagangan bagi menyokong ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif dan berdaya tahan.