Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 November. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam telah mengadakan Majlis Perasmian Program Ziarah Mahabbah (PZM) kali Ke-12 di Auditorium, UNISSA.
Turut dianjurkan bersama Bazaar Souq Mahabbah Wal Ihsan yang diadakan di Gymnasium, UNISSA.
PZM kali ke-12 berkenaan membawa tema ‘Mengutamakan Kepedulian, Mewujudkan Impian’. Ia merupakan salah satu inisiatif kemasyarakatan yang dikendalikan oleh mahasiswa dan mahasiswi Tahun 1 dan Tahun 3 Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm).
Program berkenaan bertujuan untuk memupuk semangat mahabbah, toleransi dan kesukarelawanan dalam kalangan pelajar UNISSA melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kebajikan dan khidmat masyarakat. Di samping itu, ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara UNISSA dengan masyarakat luar bandar yang memerlukan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan perasmian program, Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Turut hadir, penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Program Ziarah Mahabbah Kali Ke-12, Awang Ahmad Aiman Az-zahir bin Shahrul Azlan.
Awang Ahmad Aiman Az-zahir dalam ucapannya antara lain menekankan bahawa aktiviti keusahawanan bukan sahaja berperanan dalam menjana pendapatan, malah dapat dijadikan sebagai wadah untuk melaksanakan tanggungjawab sosial melalui pengumpulan dana bagi menyokong inisiatif kebajikan dan khidmat masyarakat.
Jelasnya lagi, pendekatan berkenaan turut diterapkan melalui penganjuran Souq Mahabbah Wal-Ihsan, yang menggabungkan aktiviti keusahawanan dengan usaha membantu golongan yang memerlukan.
Majlis diteruskan dengan perasmian Program Ziarah Mahabbah Kali Ke-12 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis perasmian turut diserikan dengan forum khas bertajuk ‘Khidmat Masyarakat Kewajiban Bersama’.
Ahli panel forum terdiri daripada Penolong Profesor dan Timbalan Pengarah, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr. Dayang Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman; dan Pengerusi PZM Kali Ke-10, Awang Ameer bin Mahmud Kashfi. Sementara Moderator forum pula ialah Awang Ahmad Rifa’ie bin Mohamad Fauziee, mahasiswa Tahun Satu.
Forum berkenaan mengetengahkan kepentingan khidmat masyarakat sebagai tanggungjawab bersama. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada peranan teknologi dan pendekatan inovatif dalam menarik minat generasi muda dalam aktiviti khidmat masyarakat.
Bersempena dengan program berkenaan, Bazaar Souq Mahabbah Wal Ihsan turut dianjurkan dan dibukakan kepada orang ramai selama empat hari, bermula Isnin hingga Khamis. Bazaar berkenaan menampilkan pelbagai jualan makanan dan minuman yang turut melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di samping aktiviti permainan serta pameran haiwan eksotik sebagai tarikan utama kepada para pengunjung.
Hasil kutipan daripada penganjuran bazaar berkenaan akan disalurkan bagi menyokong pelaksanaan Program Ziarah Mahabbah Kali Ke-12 yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2027.
Penganjuran Program Ziarah Mahabbah kali Ke-12 dan Bazaar Souq Mahabbah Wal-Ihsan mencerminkan komitmen UNISSA dalam memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti kebajikan dan keusahawanan dalam memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab sosial.