Percubaan seludup 102.19kg syabu berjaya dipatahkan

6 Nov 2026 - 7:23am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Biro Kawalan Narkotik

BELAIT, Khamis, 5 November. – Kecekapan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara telah membawa kepada kejayaan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dalam mengesan dan memintas cubaan membawa masuk sejumlah besar dadah syabu.

Seorang lelaki warga asing berusia 46 tahun telah ditahan oleh JKED di Pos Kawalan Sungai Tujoh pada 31 Oktober 2026 kerana didapati membawa masuk beberapa kotak mengandungi bungkusan teh yang berisi barang kesalahan narkotik.

Kes berkenaan telah diserahkan kepada Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Pemeriksaan lanjut oleh BKN mendapati bahawa individu berkenaan telah membuat percubaan untuk menyeludup masuk lima kotak yang secara keseluruhan mengandungi 100 bungkusan teh berisi syabu dengan berat kasar sebanyak 102.19 kilogram (kg).

Syabu yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya BND2.8 juta bagi pasaran tempatan.

Turut dirampas daripada tangkapan berkenaan ialah empat biji pil Erimin 5; wang tunai berjumlah RM1,180, SGD10, BND10 dan BAHT500; dua unit telefon bimbit dan sebuah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah bagi membantu siasatan.

Siasatan awal BKN mendapati bahawa tangkapan berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan dengan menggunakan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai laluan transit sebelum menuju ke destinasi seterusnya.

Dadah syabu yang dirampas adalah bukan bagi pasaran tempatan. Tangkapan berkenaan disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah di negara jiran, dengan modus operandi penyeludupan yang menyerupai kes-kes terdahulu di dalam dan luar negara.

Kejayaan pemintasan kes berkenaan merupakan rekod rampasan dadah terbesar di pos kawalan yang pernah dicatatkan di NBD. Kes berkenaan mencerminkan keberkesanan usaha penguatkuasaan dan kerjasama erat antara agensi keselamatan serta penguatkuasaan negara dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan.

Selain itu, ia juga membuktikan komitmen berterusan NBD dalam memperkukuh kawalan sempadan dan membendung ancaman pengedaran dadah yang semakin kompleks serta bersifat rentas negara. Kejayaan berkenaan juga merupakan hasil kerjasama bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia yang terus memberikan sokongan dan kerjasama dalam menangani jenayah merentasi sempadan.

Adalah dengan ini ditekankan bahawa NBD bukanlah sebuah negara yang boleh digunakan sebagai laluan transit dalam menjalankan kegiatan penyeludupan bahan-bahan tegahan termasuk dadah. Sebarang percubaan untuk menggunakan negara ini sebagai negara destinasi atau transit tidak akan dikompromi dan usaha pembanterasan akan terus dipergiatkan melalui penguatkuasaan yang tegas.