Perasmian Papan Tanda ‘Care in a Code’

23 Og 2026 - 8:00am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Nurdiyanah Rajami, ihsan Kumpulan 1 Aider

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Projek Khidmat Masyarakat merupakan salah satu modul di bawah Program Eksekutif Muda Kohort Ke-11 (YEP-11), anjuran Institut Perkhidmatan Awam (IPA). 

Sehubungan itu, bagi mencapai objektif projek tersebut, salah satu kumpulan peserta yang dikenali sebagai ‘1 Aider’ petang tadi telah menganjurkan Majlis Perasmian Papan Tanda ‘Care in a Code’, yang menyediakan maklumat mengenai Tindak Balas Pertolongan Cemas Asas (‘Basic First Aid Response’) bertempat di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara. 

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis perasmian berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Dr. Awang Norfarizal bin Othman. 

Turut hadir ialah Pengarah IPA, Dr. Dayang Hajah Noor Maya binti Haji Md. Salleh dan pegawai-pegawai dari kedua-dua jabatan berkenaan. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Wasan Milling Company dan Berjaya Aman Sdn. Bhd. selaku syarikat-syarikat penaja projek berkenaan; serta wakil dari Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) sebagai pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan projek tersebut. 

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh wakil Kumpulan 1 Aider. Tetamu kehormat kemudiannya dijemput untuk merasmikan papan tanda ‘Care in a Code’, diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada para penaja sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan. Majlis kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar ramai. 

Objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pertolongan cemas asas dan intervensi awal; membantu masyarakat memahami tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan; menghubungkan papan tanda fizikal dengan maklumat pertolongan cemas digital yang mudah diakses; serta menyokong Wawasan Brunei 2035 dengan menggalakkan lebih banyak isi rumah mempunyai individu yang terlatih dalam pertolongan cemas. 

Papan tanda tersebut juga menyediakan maklumat mengenai lokasi Peti Pertolongan Cemas (‘First Aid Kit’) dan ‘Automated External Defibrillator’ (AED). Inisiatif ini dirangka selaras dengan aspirasi pertama dan kedua Wawasan Brunei 2035, iaitu untuk Melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya; serta Mencapai kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi.