Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 November. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi pihak Jawatankuasa Tertinggi Maraton Jambatan SHOAS 2026/2027 ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) akan ditutup sementara bagi laluan kenderaan mulai pukul 7.00 malam pada 21 November 2026 hingga pukul 10.00 pagi pada 22 November 2026 untuk memastikan kelancaran serta keselamatan penganjuran The Brunei Half Marathon 2026.
Penutupan sementara ini merupakan langkah penting dalam pengurusan trafik dan keselamatan yang telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan, bagi menjamin suasana perlumbaan yang selamat dan teratur untuk lebih 2,500 peserta dari Negara Brunei Darussalam dan pelbagai negara di seluruh dunia.
Butiran penutupan bagi Jambatan SHOAS dan Jalan Kota Batu (di antara Masjid Kampung Sungai Besar dan Masjid Kampung Serdang) dan Pusing Keliling Temburong ke arah Jambatan SHOAS dapat dilihat dalam gambar rajah yang telah disediakan.
Sepanjang tempoh ini, para pengguna jalan raya yang melakukan perjalanan di antara Bandar Seri Begawan dan Daerah Temburong dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, menjangkakan kemungkinan kelewatan, serta mempertimbangkan laluan alternatif sekiranya perlu.
Pasukan pengurusan trafik yang menyeluruh, papan tanda khas, serta pasukan keselamatan akan ditempatkan di kawasan yang terlibat bagi memastikan kelancaran dan keselamatan semua pengguna jalan raya. Akses bagi kenderaan kecemasan akan dikekalkan pada setiap masa.
Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan penggunaan jambatan semasa tempoh penutupan terhad (7.00 malam pada 21 November 2026 hingga pukul 10.00 pagi pada 22 November 2026) boleh menghubungi pihak penganjur melalui e-mel: ‘info@thebruneihalfmarathon.com’.
Jawatankuasa Tertinggi Maraton Jambatan SHOAS 2026/2027 memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin dihadapi oleh orang awam sepanjang tempoh penutupan ini. Pihak jawatankuasa juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam atas kefahaman dan kerjasama yang diberikan. Penutupan sementara ini adalah langkah penting bagi memastikan keselamatan para peserta serta kejayaan penganjuran acara yang berprestij dan signifikan bagi negara.