Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Isnin, 9 November. - Kreativiti, inovasi dan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar berkeperluan khas terus diperkasa menerusi penghasilan pelbagai produk kreatif dan inovatif melalui Program Bootcamp Kali Ketiga Peringkat Sekolah Rendah.
Hasil usaha dan kreativiti para pelajar berkenaan diketengahkan pada Majlis Demo Day Program Bootcamp Kali Ketiga bagi Pelajar-pelajar Berkeperluan Khas Peringkat Sekolah Rendah serta Penyampaian Hadiah Pertandingan Memasak Kali Kelima bagi Pelajar-pelajar Pra-Vokasional anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama Pusat Keusahawanan Inovasi (EIC), yang berlangsung di Dewan Mahligai, Airport Mall, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr. Dayang Hajah Mustazah binti Awang Maidin selaku Pengerusi Bersama Majlis.
Acara diteruskan dengan tayangan video khas Projek Bootcamp dan Pertandingan Memasak, diikuti ucapan daripada tetamu kehormat.
Dalam ucapannya, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan berkata, Program Bootcamp membuka ruang kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas untuk meneroka dunia keusahawanan sejak di bangku sekolah lagi, sekali gus membentuk individu yang berdikari, berkeyakinan dan berdaya tahan.
Tambah Yang Mulia, melalui pengalaman menghasilkan produk, memasarkan idea dan berinteraksi dengan orang ramai, para pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran praktikal, malah turut mempelajari nilai keberanian untuk mencuba, ketabahan apabila berdepan kegagalan dan keyakinan untuk memperkenalkan hasil usaha sendiri.
“Pertandingan Memasak Program Pra-Vokasional pula, yang bertemakan ‘Zero Waste Cooking – Sustainable Kitchen’, bukan sahaja mengasah kemahiran kulinari, kreativiti dan disiplin kerja, malah menanamkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta sikap menghargai sumber yang ada.
“Apa yang lebih membanggakan, kedua-dua program ini telah melibatkan penyertaan sekolah-sekolah dari seluruh negara. Ini membuktikan bahawa pendidikan inklusif bukan lagi usaha segelintir pihak, tetapi telah menjadi komitmen bersama warga pendidikan di negara ini.
“Saya percaya pengalaman pembelajaran yang autentik seperti ini akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri para pelajar, dan membuka laluan kepada peluang yang lebih luas pada masa hadapan, termasuk ke arah latihan vokasional dan pekerjaan yang bermakna”, ujar Yang Mulia Pemangku Menteri Pendidikan lagi.
Majlis seterusnya menyaksikan pembentangan rumusan perjalanan Program Bootcamp oleh Ketua Juri, manakala rumusan keseluruhan Pertandingan Memasak disampaikan oleh wakil juri pertandingan berkenaan.
Tetamu kehormat kemudian menyempurnakan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada para pemenang. Bagi Program Bootcamp, Anugerah Most Sustainable dimenangi oleh Sekolah Rendah Sultan Hassan, Bangar menerusi produk 'Ecogrow'.
Anugerah Most Creative pula diraih oleh Sekolah Rendah Dato Marsal menerusi produk 'CAKNA Buddies - Blindbox', manakala Anugerah Most Functional dimenangi oleh Sekolah Rendah Rimba II menerusi produk 'Handy Gems: Neuro Spark Kits'.
Sementara itu, Anugerah Most Persevering disandang oleh Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 menerusi produk 'Soap-Ku', manakala Anugerah Most Innovative dimenangi oleh Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut menerusi produk 'Mini Magnetos 2.0'.
Program Bootcamp pada tahun ini melibatkan penyertaan 19 buah sekolah rendah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas di seluruh negara. Setiap sekolah diwakili oleh tiga orang pelajar dan dua orang guru pendidikan khas, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan seramai 57 pelajar dan 40 guru.
Program Bootcamp mula diperkenalkan pada tahun 2021 khusus bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas yang mengikuti Program Pra-Vokasional di peringkat Menengah. Program tersebut kemudiannya diperluas dengan penglibatan sekolah-sekolah peringkat rendah.
Pelaksanaan pada tahun ini merupakan edisi ketiga bagi peringkat sekolah rendah yang memberikan pendedahan awal kepada bidang keusahawanan dan inovasi.
Antara objektif utama program adalah untuk memperkembangkan bakat dan potensi pelajar dalam bidang kulinari, kraf tangan, jahitan serta kemahiran lain yang menjurus kepada keusahawanan.
Sementara itu bagi Pertandingan Memasak, tempat pertama disandang oleh Sekolah Menengah Masin diikuti oleh Sekolah Menengah Perdana Wazir di tempat kedua dan Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman di tempat ketiga.
Sebanyak lapan buah sekolah menengah telah mara ke peringkat akhir Pertandingan Memasak Pelajar Program Pra-Vokasional Kali Kelima yang bertemakan 'Zero Waste Cooking – Sustainable Kitchen'.
Pertandingan ini menjadi wadah kepada para pelajar untuk mempamerkan dan mengaplikasikan kemahiran kulinari serta kreativiti mereka. Selain itu, pertandingan ini turut menekankan kepentingan kebersihan dan keselamatan dapur, di samping memupuk kesedaran tentang kelestarian dan usaha mengurangkan pembaziran makanan.
Majlis diakhiri dengan aktiviti Demo Day dengan menyaksikan pameran serta produk yang dihasilkan melalui Projek Bootcamp. Para pelajar telah mempamerkan produk dan perkhidmatan yang diusahakan dengan bimbingan guru-guru masing-masing.
Pengalaman ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari dalam suasana praktikal di samping membina keyakinan diri ketika berinteraksi dengan orang ramai.
Majlis diakhiri dengan aktiviti Demo Day dengan menyaksikan pameran serta produk yang dihasilkan melalui Projek Bootcamp. Para pelajar telah mempamerkan produk dan perkhidmatan yang diusahakan dengan bimbingan guru-guru masing-masing.
Pengalaman ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari dalam suasana praktikal di samping membina keyakinan diri ketika berinteraksi dengan orang ramai.
Selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023–2027, inisiatif ini turut mendukung objektif strategik ‘Nurture Future-Ready Learners’, melalui penyediaan peluang pendidikan yang saksama dan pengalaman pembelajaran yang membangunkan potensi pelajar-pelajar berkeperluan khas.