Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 November. - D’Sunlit Sendirian Berhad hari ini mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan dan Rakan Kerjasama bagi Alpha X 2026, yang menandakan kerjasama rasmi antara pihak penganjur dengan para penaja dan rakan kerjasama dalam membuat persiapan bagi edisi ke-10 acara ketahanan fizikal terkemuka di negara ini.
Hadir mewakili pihak penganjur ialah Pengurus Operasi D’Sunlit Sdn. Bhd., Ngu Tiing Siang, dan Ketua Perhubungan Jualan D’Sunlit Sdn. Bhd., Mike Chia.
Edisi ke-10 Alpha X 2026 membawa makna yang cukup istimewa kerana ia merupakan edisi terakhir bagi The Alpha Challenge.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, acara berkenaan telah berkembang menjadi antara acara kecergasan berasaskan halangan yang dikenali di Negara Brunei Darussalam, dengan menghimpunkan individu, keluarga dan peminat kecergasan untuk menguji ketahanan fizikal, kekuatan serta keazaman melalui pelbagai cabaran halangan.
Bagi tahun ini, acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 29 November 2026 bertempat di Pantai Muara, yang memberikan peluang kepada para peserta untuk sama-sama menyertai babak terakhir perjalanan Alpha Challenge.
Selaras dengan semangat untuk terus mencabar batas kemampuan dan mengatasi setiap halangan, Alpha X 2026 akan menampilkan tiga kategori yang bersesuaian dengan tahap kecergasan dan keupayaan para peserta.
Kategori Fun Run menawarkan laluan sejauh 3 kilometer (km) dengan lima halangan, yang direka khas untuk keluarga serta peserta yang menginginkan pengalaman kecergasan yang menyeronokkan dan mudah disertai.
Sementara itu, kategori Omega Challenge menawarkan laluan sejauh 5km dengan lapan halangan bagi mereka yang inginkan cabaran fizikal yang lebih mencabar.
Manakala kategori Alpha Challenge pula menampilkan laluan kompetitif sejauh 7.8km dengan 18 halangan, yang direka untuk menguji kekuatan, ketahanan fizikal serta daya tahan mental para peserta.
Edisi yang cukup bermakna ini turut mendapat sokongan daripada seramai 32 penaja dan rakan kerjasama rasmi, sekali gus mencerminkan sokongan padu serta kerjasama komuniti perniagaan tempatan terhadap penganjuran acara berkenaan.
Antara penaja rasmi yang terlibat ialah NBT (Brunei) Sdn. Bhd.; Imagine Sdn. Bhd.; Swee Wah Enterprise Sdn. Bhd.; Bank of China; Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd.; Tile Directories (B) Sdn. Bhd.; Bobby Electrical Co. Sdn. Bhd.; Brown Hill Traders; Current Voltage; Dimension Company; Gold Throne Sdn. Bhd.; Ideal Group Holdings Sdn. Bhd.; Jackhan Sdn. Bhd.; LSL Sdn. Bhd.; Netbytz Sdn. Bhd.; Normila Sdn. Bhd.; Sahid Sendirian Berhad; Seri Utama Engineering Sdn. Bhd.; Sim Kim Huat Trading Co. Sdn. Bhd.; Syarikat Perniagaan Malar Setia; Technotest Sdn. Bhd.; W.H. Jaya Enterprise; dan Waznah Nor Enterprise.
Manakala rakan kerjasama rasmi terdiri daripada Aewon Garment & Embroidery Sdn. Bhd.; Chop Kian Chuang; Fuora Sport; Hui Huang Enterprise; Savinglife Resources; TLT Enterprise; Forged Fitness; Dynamic Sports; dan Universiti Brunei Darussalam.
D’Sunlit Sdn. Bhd. merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penaja serta rakan kerjasama atas sumbangan dan sokongan berterusan yang diberikan.
Dengan berlangsungnya Alpha X 2026 sebagai edisi terakhir The Alpha Challenge, edisi ke-10 yang bersejarah ini mengundang para peserta untuk menjadi sebahagian daripada babak terakhir berkenaan serta mengambil peluang terakhir untuk mencabar kemampuan diri, mengatasi halangan dan bersama-sama menamatkan perlumbaan.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang ‘https://thealphachallengebn.com’ atau mengikuti akaun Instagram ‘@thealphachallengebn’.