Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Isnin, 9 November. - Majlis Pembukaan Rasmi Gelanggang Pencak Silat sempena Kejohanan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) V, Tahun 2026 telah berlangsung petang tadi di Dewan Serbaguna, Stadium Hassanal Bolkiah.
Upacara pembukaan kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan Upacara Perarakan Keris (Pembukaan). Majlis kemudiannya diteruskan dengan pembacaan Ikrar Pesilat serta Ikrar Janji Wasit Juri.
Tetamu kehormat seterusnya diperkenalkan kepada barisan Wasit Juri, pengurus-pengurus pasukan serta para atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan bagi para pesilat untuk menguji dan memperlihatkan kemahiran serta keupayaan masing-masing di peringkat kebangsaan, malah turut memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan seni bela diri pencak silat sebagai salah satu warisan budaya dan sukan yang sarat dengan nilai tradisi serta identiti tersendiri di Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, kejohanan ini turut menjadi platform untuk memperkukuh semangat kesukanan, disiplin, perpaduan dan persahabatan dalam kalangan para pesilat serta pegawai daripada tujuh kontinjen yang mengambil bahagian.
Melalui penganjuran kejohanan ini, para peserta berpeluang menimba pengalaman pertandingan, meningkatkan tahap prestasi masing-masing serta membuka ruang kepada usaha mencungkil dan mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.