Operasi Usai kesan 8 kesalahan

10 Nov 2026 - 4:42am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga Manusia dan PekerjaanGADONG, Isnin, 9 November. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah menjalankan Operasi Usai 249 / 2026 di kawasan Gadong pada 2 November 2026, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

Pemeriksaan ke atas kegiatan restoran telah mendapati sebanyak lapan kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap beberapa pekerja tempatan dan asing iaitu Bab 39(1) di mana majikan gagal membayar gaji pekerja dan Bab 39(2), majikan gagal membayar kerja lebih masa serta Bab 44, membuat pemotongan gaji yang bertentangan dengan Akta Pekerjaan, Penggal 278, Bab 65, pekerja bekerja melebihi jam yang ditetapkan.

Kemudian Bab 70, majikan gagal memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71, majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja dan dua kesalahan di bawah Bab 112(2), melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing iaitu penempatan pekerja bercampur dengan pekerja syarikat lain yang dipunyai oleh pemilik yang sama serta pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan pelayan melakukan pekerjaan sebagai juruwang.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti majikan hendaklah membayar gaji pekerja-pekerja tepat pada masa dalam tempoh tujuh hari selepas hari terakhir tempoh gaji tersebut sepatutnya dibayar.

Seterusnya, majikan hendaklah membayar gaji kerja lebih masa jika pekerja bekerja melebihi lapan jam sehari atau bekerja melebihi 44 jam dalam seminggu, majikan hendaklah membuat pemotongan gaji yang selaras dengan kehendak undang-undang, pekerja-pekerja tidak boleh bekerja melebihi lapan jam sehari dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari bagi pekerja syif serta tidak dibenarkan bekerja lebih masa melebihi dari 72 jam dalam sebulan.

Bekerja pada hari kelepasan awam yang diwartakan hendaklah dibayar ganda atau diganti cuti pada hari lain dan majikan hendaklah menempatkan pekerja-pekerja mengikut alamat kebenaran lesen dan memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan.

Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan menerusi talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).