NBD komited memperkasa kecemerlangan tenaga kerja, kepimpinan

13 Nov 2026 - 6:28am

Siaran Akhbar dan Foto : Sparks Ventures Enterprise

BANGKOK, THAILAND, Khamis, 12 November. – Seramai 15 delegasi korporat dan pemimpin industri dari Negara Brunei Darussalam (NBD) telah tiba di Bangkok untuk mewakili negara dalam persidangan dan Anugerah Asia HRD Congress & Awards 2026 anjuran SMR Malaysia, yang berlangsung di Millennium Hilton Bangkok dari 12 hingga 13 November 2026.

Diterajui oleh Sparks Ventures (SVE) selaku Rakan Kongsi Rasmi Negara (Country Partner) bagi Anugerah HRD Asia di NBD, delegasi berkenaan menyertai pemimpin industri serantau, pembuat dasar dan perintis modal insan dari seluruh Asia.

Penyertaan tersebut mengetengahkan komitmen berterusan NBD terhadap kecemerlangan tenaga kerja dan inovasi kepimpinan, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Selepas ketibaan di ibu kota Thailand, para delegasi memulakan atur cara rasmi dengan menyertai kelas master eksekutif khusus yang membincangkan strategi organisasi kalis masa depan. Tumpuan kini beralih kepada Majlis Anugerah Gala Asia HRD 2026, dengan organisasi dan tokoh korporat terkemuka NBD dijadualkan menerima pengiktirafan dan anugerah serantau berprestij di pentas antarabangsa.

Walaupun butiran penuh masih dirahsiakan sebelum majlis bermula, pengumuman berkenaan dijangka membawa kebanggaan besar kepada negara. Persidangan dua hari tersebut akan diteruskan pada Jumaat, 13 November 2026, dengan persidangan antarabangsa sehari penuh yang menampilkan panel-panel kepemimpinan transformatif.

Menurut Pengiran Haji Mohd. Azlan bin Pengiran Haji Tengah Omar, iaitu jurucakap Sparks Ventures menyatakan penyertaan NBD pada tahun ini amat membanggakan dan malam gala berkenaan bakal menjadi pencapaian bermakna bagi pemimpin korporat serta institusi kita.

"Kami tidak sabar untuk meraikan kejayaan mereka berdiri sebaris dengan yang terbaik di Asia,” ujarnya lagi.