Berita dan Foto : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2026 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama tiga hari dengan pengisian forum, klinik mentor dan aktiviti rangkaian kerja, yang antara lain menyaksikan penyerahan Laporan Wawasan 2035 : Brunei Lens, baru-baru ini.
Konvensyen anjuran Syarikat Pengurusan Kifayah Ar-Razaq itu berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Bandar Seri Begawan, dengan penyertaan golongan belia.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Terdahulu, Yang Berhormat berkesempatan untuk menyaksikan Pameran Youth Vision Gallery dan Pavilion Belia.
Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah serta tayangan video imbas kembali sepanjang hari pertama dan kedua konvensyen.
Antara pengisian utama majlis penutup ialah penyerahan Laporan Wawasan 2035 : Brunei Lens kepada Young Professionals Network, diikuti penyerahan Rapporteur Executive Summary kepada Pejabat Wawasan Brunei dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para mentor, rakan strategik, rakan kerjasama, penaja dan penyokong konvensyen atas sokongan serta sumbangan mereka dalam menjayakan BYLC 2026.