Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
DOHA, NEGARA QATAR, Khamis, 12 November. - Penyertaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) yang diadakan di Doha, Negara Qatar, telah membuka peluang bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang telekomunikasi dan pembangunan digital.
Persidangan yang diadakan setiap empat tahun di bawah tema ‘Together for a connected digital future’ berkenaan merupakan badan pembuat dasar tertinggi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang menghimpunkan negara-negara ahli bagi menentukan hala tuju strategik dan keutamaan kesatuan berkenaan, meluluskan pelan strategik dan kewangannya serta memilih barisan kepimpinan tertinggi, ahli-ahli Majlis ITU dan Lembaga Peraturan Radio.
Di luar persidangan ITU PP-26, NBD turut menyertai Ministerial Programme yang diadakan bersempena dengan Mobile World Congress 2026 Doha (MWC26 Doha), dari 8 hingga 10 November 2026. Program tersebut menghimpunkan menteri-menteri, penggubal dasar dan pemimpin industri bagi membincangkan transformasi digital, daya tahan infrastruktur digital serta teknologi baharu, termasuk Kecerdasan Buatan (AI).
Antara hasil utama program berkenaan ialah pelancaran Doha Ministerial Declaration yang menegaskan komitmen bersama ke arah memajukan pembangunan digital yang inklusif dan mampan serta memperluaskan peluang melalui kesalinghubungan digital.
Penyertaan dalam persidangan dan program berkenaan adalah selaras dengan keutamaan negara di bawah Digital Brunei 2030 dan Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memperkukuh kesalinghubungan digital, meningkatkan kepercayaan terhadap perkhidmatan digital, membangunkan kepakaran tempatan serta memanfaatkan teknologi baharu bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.
Melalui kenyataan dasar negara yang disampaikan semasa ITU PP-26, NBD telah mengetengahkan kemajuan dalam bidang kesalinghubungan digital, termasuk pencapaian skor 95.1 dalam ITU ICT Development Index 2024, antara yang tertinggi di ASEAN.
Kemajuan tersebut menjadi asas bagi memperluaskan perkhidmatan kerajaan digital dan menyokong pendigitalan perniagaan. Kenyataan dasar berkenaan turut menggariskan usaha negara dalam memperkukuh kepercayaan digital melalui Personal Data Protection Order dan pembangunan National Child Online Protection Strategy yang berpandukan ITU Child Online Protection Framework.
Kerjasama dalam bidang-bidang tersebut dapat menyokong usaha memperkukuh perlindungan data peribadi, meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan digital serta mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, khususnya bagi kanak-kanak dan golongan belia.
Perbincangan mengenai AI dan teknologi baharu turut meneroka peluang kerjasama teknikal serta pertukaran pengetahuan bagi menyokong pelaksanaan National AI Framework NBD. Peluang tersebut melengkapi usaha berterusan negara dalam membangunkan kepakaran tempatan, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memanfaatkan penyelesaian AI bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi dan memperkukuh daya saing.
Usaha berkenaan juga menyokong pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan sebagai persediaan menghadapi perkembangan industri digital dan peluang pekerjaan pada masa hadapan. Penglibatan berterusan bersama ITU, khususnya dalam mendukung keutamaan strategiknya bagi tempoh 2028 hingga 2031, turut membuka peluang untuk mendapatkan akses kepada piawaian antarabangsa, kepakaran teknikal dan program pembangunan kapasiti.
Kerjasama tersebut menyokong usaha negara dalam memperkukuh keselamatan siber, melindungi infrastruktur maklumat kritikal serta meningkatkan daya tahan perkhidmatan komunikasi penting, di samping memudah cara kesalinghubungan rentas sempadan yang selamat dan memperluaskan penyertaan NBD dalam ekonomi digital serantau dan global.
Pertemuan dua hala bersama rakan-rakan sejawat di peringkat menteri turut diadakan di luar persidangan ITU PP-26 dan MWC26 Doha bagi meneroka peluang bantuan teknikal dan kerjasama antara institusi. Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh infrastruktur digital, membangunkan kepakaran khusus serta meningkatkan keupayaan negara dalam menangani cabaran teknologi baharu.
Delegasi NBD diketuai oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dan turut disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim; serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI).
ITU merupakan sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi teknologi digital yang bertanggungjawab dalam penyelarasan piawaian telekomunikasi antarabangsa, spektrum frekuensi radio serta memperluaskan kesalinghubungan global.
Sejak lebih 160 tahun yang lalu, ITU telah memainkan peranan penting dalam memudah cara kerjasama antarabangsa dalam bidang telekomunikasi dan pembangunan rangkaian komunikasi global.