Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 November. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, hari ini mengadakan Peringkat Akhir Pertandingan National Islamic Speech bagi Sekolah-Sekolah Rendah Negara Brunei Darussalam Tahun 2026, bertempat di Centre Stage, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Pertandingan berkenaan terlebih dahulu melalui peringkat saringan yang diadakan secara dalam talian, dengan penyertaan seramai 40 peserta yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, serta sekolah-sekolah di bawah kawalan KHEU.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 10 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, masing-masing lima peserta bagi Kategori Rendah Lelaki dan lima peserta bagi Kategori Rendah Perempuan.
Bagi Kategori Rendah Lelaki, johan diraih oleh Awang Md. Muqri Hamizan dari Sekolah Rendah Masin; manakala naib johan disandang oleh Awang Muhd. Aqil Adnan dari Sekolah Freda Radin; sementara tempat ketiga pula milik Awang Muhammad ‘Aaisy Aiman Fidaley dari Sekolah Al-Faalah Sungai Akar.
Sementara itu, bagi Kategori Rendah Perempuan pula, Amara Sofia dari Sekolah St. Andrew muncul johan; diikuti Dayang Nur Qistina Amanda dari Sekolah Rendah Beribi Telanai selaku naib johan; manakala tempat ketiga diraih oleh Dayangku Nur Rania Qaisara dari Sekolah Rendah Dato Othman.
Penganjuran pertandingan berkenaan antara lain bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri murid dalam menyampaikan ucapan di khalayak ramai, di samping membantu mereka melaksanakan pembentangan dan berkongsi maklumat dengan lebih mudah serta yakin.
Selain itu, pertandingan berkenaan turut berperanan mempertingkatkan kemahiran komunikasi dan kelancaran murid dalam menyampaikan ilmu serta hujah, di samping memupuk semangat persaingan yang positif dalam kalangan pelajar.