Meningkatkan kesedaran masyarakat pilih makanan dengan bijak

13 Nov 2026 - 5:51am

Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Ke arah membentuk masyarakat yang lebih cakna dan bijak membuat pilihan makanan berdasarkan tuntutan syariah dan ilmu kesihatan pemakanan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Jaulah Fiqh Kontemporari & Barakah Food Fest 1.0 berlangsung di kampus berkenaan.

Hadir merasmikan acara berkenaan, Pemangku Timbalan Ra’es, KUPU SB, Dr. Awang Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha. Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, jemputan-jemputan khas, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa mahasiswi KUPU SB.

Dalam forum bertajuk ‘Makanan Viral vs Makanan Halalan Tayyiban : Perspektif Maqasid Syariah’, elemen kesihatan dan pemakanan telah diketengahkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membuat pilihan makanan yang bijak, khususnya dalam menghadapi pengaruh trend makanan di media sosial.

Masyarakat digalakkan mengamalkan Konsep 3S iaitu ‘Semak, Sederhana dan Seimbang’ dalam pemilihan makanan.

Pengguna perlu menyemak bahan dan status halal, memastikan aspek kebersihan serta keselamatan makanan, mengawal saiz dan kekerapan pengambilan serta mengutamakan pemakanan yang seimbang.

Acara selama sehari ini juga turut melibatkan sejumlah lebih 40 pengusaha Barakah Food Fest 1.0, terdiri daripada para mahasiswa dan mahasiswi Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama yang mengikuti Kursus Pendidikan Keusahawanan di KUPU SB.

Antara lain objektif acara ini diadakan adalah sebagai platform penyampaian ilmu dan memberikan kefahaman khusus mengenai konsep Halalan Tayyiban sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memilih makanan yang halal, bersih, selamat dan berkhasiat.

Selain membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan makanan ‘viral’ dan pengaruh media sosial, ia juga menjadi wadah ilmiah yang relevan lebih-lebih dalam mendalami etika kepenggunaan Muslim yang menepati Maqasid Syariah melalui aktiviti keusahawanan.