Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
MUMONG, Isnin, 9 November. - Dalam usaha mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035 ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus memperkasa pendekatan pembelajaran yang dapat meningkatkan penguasaan ilmu, kreativiti dan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar.
Sejajar dengan usaha tersebut, Sekolah Arab Belait telah mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal ‘Ula (Ke Arah Ketinggian dan Kemuliaan) bertemakan ‘Al-Ta’allum Bila Hudud : Pembelajaran Tanpa Sempadan’ di Makmal Bahasa sekolah berkenaan.
Program berkenaan melibatkan pelajar Sanah 8 daripada Sekolah Arab Belait, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Ma’had Islam Brunei dan Sekolah Arab Temburong.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pengarah Balurih Travel Sdn. Bhd., Dayang Yuli Raime binti Kamis.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Arab Belait, Pengiran Hajah Masniah binti Pengiran Hussin.
Acara seterusnya menyaksikan pelancaran Al-Ta’allum Bila Hudud oleh tetamu khas majlis. Antara pengisian utama ialah STEAM Innovation Terminal yang menggabungkan stesen pembelajaran Bahasa Melayu dan Melayu Islam Beraja, Bahasa Inggeris dan Social Studies, Matematik serta Sains.
Para peserta turut didedahkan kepada elemen literasi kewangan melalui Smart Spending Market sebelum menyelesaikan cabaran pembinaan Projek STEAM dan majlis diakhiri dengan pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah.
Program Ilal Majdi Wal ‘Ula merupakan antara inisiatif Bahagian Sekolah Arab, JPI yang dilaksanakan secara bergilir di sekolah-sekolah Arab sebagai wadah pembelajaran berasaskan pengalaman.
Pendekatan ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu secara praktikal, di samping mengembangkan kemahiran komunikasi, kerjasama, pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah, selaras dengan keperluan pembelajaran masa kini.