Memperkukuh kerjasama serantau memajukan pembangunan belia

22 Og 2026 - 9:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Belia Ke-14 (AMMY XIV) dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Belia Campur Tiga Ke-10 (10th AMMY+3) yang diadakan secara persidangan video pada hari ini. NBD diwakili oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Dengan tema ‘Pengukuhan Pembangunan Belia bagi Komuniti ASEAN yang Berdaya Tahan, Inovatif, Dinamik dan Inklusif: Menavigasi Masa Hadapan Bersama’, mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Belia Kebangsaan Filipina, Tuan Yang Terutama Joseph Francisco R. Ortega.

AMMY XIV dan 10th AMMY+3 telah menghimpunkan Menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam hal ehwal belia serta wakil mereka, bersama rakan sejawat dari Negara Campur Tiga iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea. Mesyuarat ini menjadi wadah untuk bertukar pandangan dan memperkukuh kerjasama serantau dalam memajukan pembangunan belia, dengan perbincangan tertumpu kepada penyelarasan keutamaan belia serantau dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan Rancangan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, di samping mengiktiraf peranan penting belia dalam membentuk komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan inklusif.

Semasa menyampaikan kenyataan dalam mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menegaskan bahawa golongan belia bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi juga merupakan penggerak utama masa kini yang mencorakkan masyarakat sebagai inovator teknologi, pembina komuniti, dan usahawan dinamik. Bagi mendepani perubahan global yang pantas, ASEAN perlu memupuk minda, nilai, kemahiran, dan keyakinan dalam diri belia agar mereka bersedia untuk memimpin.

Melalui platform keterlibatan yang tepat, belia mampu bertindak sebagai rakan strategik bagi memperkukuh kesepaduan sosial dan memelihara perpaduan jangka panjang rantau ini. Di peringkat domestik, pembangunan belia kekal menjadi agenda utama NBD.

Hubungan interaktif antara golongan belia dan penggubal dasar terus diperkasakan melalui inisiatif seperti Kajian Belia Kebangsaan, sesi dialog, sesi ‘town hall’, Kongres Belia Kebangsaan, dan Konvensyen Pemimpin Muda Brunei. Bagi membina daya tahan dan jati diri belia, Yang Berhormat turut mengetengahkan peranan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dalam memupuk disiplin dan patriotisme, serta peranan Pusat Pembangunan Belia dalam melengkapkan belia dengan pelbagai kemahiran termasuk keupayaan digital bagi memperkukuh laluan ke arah pekerjaan serta keusahawanan.

Antara hasil utama AMMY XIV ialah pengesahan dan pelancaran Rangka Kerja ASEAN mengenai Belia 2026-2030, yang menetapkan hala tuju kerjasama ASEAN dalam pembangunan belia bagi tempoh lima tahun akan datang dan akan dikemukakan di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49. Para menteri turut menilai kemajuan yang dicapai di bawah Rangka Kerja ASEAN mengenai Belia 2021-2025 dan menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama serta mewujudkan lebih banyak peluang bagi belia untuk terlibat secara bermakna dalam membentuk masa depan komuniti ASEAN.

Para menteri juga telah meluluskan Deklarasi ASEAN mengenai Pengukuhan Pembangunan Belia bagi komuniti ASEAN, Kenyataan Belia ASEAN mengenai Daya Tahan Digital, serta Kenyataan Bersama Menteri-menteri AMMY XIV dan 10th AMMY+3.

Mesyuarat turut mengalu-alukan Republik Demokratik Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN Ke-11 dan menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan serta kerjasama Negara Plus Tiga dan rakan ASEAN dalam memajukan inisiatif pembangunan belia serantau.

AMMY XIV dan 10th AMMY+3 telah didahului oleh Mesyuarat Pegawai Kanan Mengenai Belia Ke-15 (SOMY XV) dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Campur Tiga Mengenai Belia Ke-14 (14th SOMY+3), yang diadakan secara persidangan video dari 19 hingga 20 Mei 2026.

Delegasi NBD ke mesyuarat tersebut telah diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman bersama pegawai kanan dari kementerian tersebut.