Memperkasa kemahiran memberikan bantuan kecemasan dengan segera

13 Nov 2026 - 6:26am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BERAKAS, Khamis, 12 November. - Seramai 312 peserta yang terdiri daripada 236 pelajar dan 76 guru daripada 24 buah sekolah menengah menyertai Program Kesedaran Bantuan Pernafasan dan Tekanan Dada (CPR) serta Penggunaan Alat Kejutan Elektrik Automatik Luaran (AED) anjuran Kementerian Kesihatan menerusi Unit Pembangunan dan Pemantauan Resusitasi (RDMU).

Program yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Resuscitation Updates 2026 yang bertemakan ‘Hands That Save : Building a Nation Ready to Resuscitate’.

Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan keyakinan para pelajar serta guru dalam memberikan bantuan kecemasan dengan segera sekiranya berhadapan dengan mangsa serangan jantung, sama ada di persekitaran sekolah mahupun dalam masyarakat.

Sepanjang program, para peserta diberikan pendedahan mengenai teknik CPR kaedah ‘hands-only’, iaitu melakukan tekanan dada tanpa bantuan pernafasan, serta cara menggunakan AED dengan selamat.

Berdasarkan kajian kes serangan jantung di Daerah Brunei dan Muara bagi tempoh 2017 hingga 2019, sebanyak 71.2 peratus daripada kes yang dikaji berlaku di luar hospital, dengan purata tempoh 19 minit sebelum CPR dimulakan.

Kajian tersebut turut mendapati kadar kelangsungan hidup selepas sebulan bagi kes serangan jantung di luar hospital masing-masing sebanyak lima peratus, berbanding 25 peratus bagi kes yang berlaku di dalam hospital.

Sehubungan itu, tindakan memberikan CPR dengan segera dan penggunaan awal AED amat penting kerana berupaya meningkatkan peluang kelangsungan hidup mangsa serangan jantung.

Program berkenaan diketuai oleh Dr. Haji Ali Shahbana bin Haji Md. Yassin dengan Dr. Alice Lai selaku Timbalan Ketua Program.

Tiga sesi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dikendalikan oleh tenaga pengajar Kemahiran Asas Sokongan Hayat (Basic Life Support) yang mendapat pensijilan Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association – AHA), dengan sokongan kakitangan RDMU.

Setiap sesi merangkumi taklimat, demonstrasi secara langsung dan latihan amali di bawah pemantauan tenaga pengajar, termasuk teknik melakukan tekanan dada serta penggunaan AED. Alat bantuan pembelajaran visual turut digunakan bagi memudahkan pemahaman peserta.

Program tersebut merupakan latihan pengenalan kepada CPR kaedah ‘hands-only’ dan penggunaan AED. Orang ramai yang berhasrat mendapatkan pensijilan dalam bidang berkenaan digalakkan mengikuti kursus yang ditawarkan oleh penyedia latihan yang diiktiraf.

Inisiatif tersebut juga menyokong sasaran Kementerian Kesihatan untuk memberikan latihan asas pertolongan cemas dan CPR kepada 50 peratus penduduk negara ini menjelang 2035.

Sementara itu, Resuscitation Updates 2026 akan diteruskan dengan Persidangan Resusitasi Kebangsaan 2026 (National Resuscitation Conference 2026) khusus bagi golongan profesional kesihatan pada Ahad, 15 November 2026.

Ia seterusnya diikuti dengan Program Pembangunan Fakulti Sokongan Hayat Lanjutan Pediatrik AHA (AHA Paediatric Advanced Life Support Faculty Development Programme) yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 19 November 2026.