Membudayakan amalan membaca Al-Quran dalam kalangan kanak-kanak

6 Nov 2026 - 8:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 November. - Dalam usaha melahirkan generasi kanak-kanak yang berkemampuan membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna, di samping memupuk amalan membaca Al-Quran secara istiqamah dalam kehidupan seharian, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Az-Zakireen, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang, Daerah Brunei dan Muara, telah menganjurkan Musabaqah Membaca Al-Quran Secara Murattal Berkumpulan bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Musabaqah berkenaan diadakan pada pagi tadi bertempat di Masjid Az-Zakireen, RPN Kampung Meragang.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Penganjuran musabaqah berkenaan merupakan antara inisiatif Unit Kelas Al-Quran dan Muqaddam, Bahagian Imarah, JHEM dalam menyemai dan memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan kanak-kanak yang mengikuti Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Inisiatif berkenaan juga bertujuan menggalakkan kanak-kanak menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian yang berterusan, di samping meningkatkan penguasaan dan kemahiran mereka dalam pembacaan Al-Quran serta mengeratkan silaturahim sesama peserta.

Sebanyak 16 kumpulan telah menyertai musabaqah berkenaan, terdiri daripada sembilan kumpulan lelaki dan tujuh kumpulan perempuan.

Johan bagi kumpulan lelaki ialah Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, manakala naib johan disandang oleh Masjid Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, Kampung Kiudang; sementara tempat ketiga milik Masjid Az-Zakireen, RPN Kampung Meragang.

Sementara bagi kumpulan perempuan pula, johan disandang oleh Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, manakala naib johan milik Masjid Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, Kampung Kiudang; sementara tempat ketiga ialah Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie.

Diharapkan melalui penganjuran musabaqah berkenaan, bakat dan potensi kanak-kanak dalam pembacaan Al-Quran akan dapat dicungkil dan dikembangkan.

Selain itu, usaha berkenaan diharap dapat menyemai kecintaan yang mendalam terhadap kitab suci Al-Quran agar terus dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian.

Penganjuran program seumpama berkenaan juga dihasrat dapat meningkatkan minat dan menggalakkan lebih ramai kanak-kanak untuk menyertai pelbagai aktiviti keagamaan yang dianjurkan di masjid, khususnya Kelas Al-Quran dan Muqaddam.